UNISSA-UNISEL kukuhkan kerjasama

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mempergiatkan jalinan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi luar negara dengan penandatanganan membaharui memorandum persefahaman (Mou) bersama Universiti Selangor (UNISEL), Malaysia yang diadakan secara maya, hari ini.

Penandatanganan telah disempurnakan oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan bin Othman.

Turut menyaksikan majlis penuh bermakna itu ialah Pemangku Timbalan Rektor UNISSA, Dr Arman bin Haji Asmad dan pegawai-pegawai utama UNISSA dan UNISEL.

Dr Haji Norarfan dalam ucapan alu-aluannya, merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak UNISEL kerana menjadikan UNISSA sebagai rakan strategik untuk bekerjasama dalam apa jua program atau aktiviti melalui penandatanganan MoU.

Tambahnya, UNISSA dan UNISEL telah pun menjalinkan hubungan kerjasama dengan melaksanakan beberapa kegiatan sejak 2015, antaranya khidmat masyarakat pelajar UNISEL di Negara Brunei Darussalam dalam Program Outbound Outreach UNISEL
UNISSA dan penganjuran bersama dalam Seminar Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Tayyiban (SAPPHAT) ke-4 pada 2019.

Jelasnya lagi, dengan pembaharuan MoU berkenaan diharap dapat meneruskan dan memperkukuh lagi kerjasama dalam bidang akademik, program pertukaran pelajar atau tenaga akademik serta penyelidikan.

Perlaksanaan kegiatan tersebut walaupun tidak dapat dilakukan secara fizikal disebabkan oleh situasi pandemik ketika ini namun pilihan secara dalam talian juga boleh
dilakukan.

Sementara itu, Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan turut menzahirkan rasa terima kasih kepada UNISSA kerana mengekalkan hubungan kerjasama yang baik sejak sekian lama dalam berbagai-bagai bidang terutama bidang akademik.

UNISEL akan berganding bahu untuk meningkatkan lagi program kolaborasi dengan UNISSA dan berharap kegiatan secara normal akan dapat dibuat setelah berakhirnya wabak COVID-19.

Majlis penandatanganan membaharui MoU antara UNISSA dan UNISEL yang diadakan secara maya, kelmarin. – Gambar serahan UNISSA