UNISZA agih sayur tanaman botani sepanjang PKP

KUALA NERUS – Usaha sekumpulan 27 penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menanam sayur-sayuran di Taman Mini Botani kampus itu sejak Mei tahun lepas jelas berbaloi apabila hasil tuaian mereka dapat diagihkan kepada penuntut dan warga kerja universiti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr HassanBasri Awang Mat Dahan berkata Taman Mini Botani yang terletak di antara blok-blok asrama pelajar itu berjaya menghasilkan sehingga 30 kilogram sayur-sayuran setiap kali tuaian.

“Usaha itu turut mendapat bimbingan daripada pensyarah Fakulti Bio Sumber dari kampus UniSZA di Besut yang menyalurkan ilmu dan teknik penanaman berkesan dalam penghasilan sayur-sayuran yang berkualiti tinggi.

“Kita lihat projek Taman Mini Botani ini sangat bermanfaat dalam menyumbang keperluan kepada golongan tersebut sepanjang tempoh PKP. Antara tanaman di Taman Mini Botani UniSZA ialah kacang panjang, bayam, sawi, timun dan ulam-ulaman,” katanya kepada media.

Hassan Basri berkata UniSZA akan memperluaskan projek seumpamanya di tanah terbiar dalam kawasan kampus itu untuk dijadikan kebun sayur organik bagi menampung keperluan penuntut, khususnya yang tinggal di asrama pada masa akan datang.

Ketika ini, terdapat 150 penuntut UniSZA yang masih berada di asrama kampus sepanjang PKP dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas.

Seorang penuntut Tahun Tiga Fakulti Sains Sosial UniSZA, AhmadSofi Awang Sofien, 23, berkata beliau memanfaatkan masa terluang sepanjang PKP untuk berbakti kepada tanah dengan menanam lebih banyak sayur-sayuran di Taman Mini Botani itu.

“Kami baru sahaja tanam lada, terung, petola dan kacang panjang… kami tetap mengamalkan langkah kebersihan dan mempraktikkan penjarakan sosial seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mencegah penularan COVID-19.

“Kebetulan, saya memang suka bercucuk tanam dari kecil, jadi sepanjang berada di kebun sayur ini, dapat sihatkan badan dan ubati kerinduan kepada keluarga yang berada di Kota Kinabalu,” katanya yang berharap sumbangan kecilnya itu dapat memberi manfaat kepada golongan memerlukan. – Bernama

Para pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membawa pulang buah-buahan dan sayuran yang disumbangkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selain sayuran yang diusahakan sendiri pelajar yang telah diagihkan kepada seramai 150 pelajar UniSZA yang masih berada di asrama kampus tersebut sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. – Bernama