Unit MISC hantar kapal pertama bagi kontrak sewaan Petrobras

KUALA LUMPUR, 26 MEI – Unit perkapalan petroleum MISC Bhd, AET Tanker Holdings Sdn Bhd (AET) telah menghantar Eagle Petrolina, satu daripada empat kapal tangki Suezmax DP2 bagi kontrak sewa jangka panjang kepada syarikat gergasi minyak Brazil, Petróleo Brasileiro S.A. (Petrobras).

AET berkata penghantaran kapal tangki yang berkapasiti berat muatan (dwt) 152,000 itu dilakukan pada Jumaat lepas.

Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata, kapal itu akan memulakan operasinya menjelang akhir bulan depan bersama-sama dua kapal AET yang telah beroperasi untuk Petrobras di lembangan Brazil.

“Eagle Petrolina dibina di Samsung Heavy Industries (SHI) di Korea Selatan manakala tiga lagi (dalam dwt yang sama) masih dalam pembinaan dan akan dihantar pada akhir tahun ini,” katanya. – Bernama