United bangkit di Turin

PARIS, 8 Nov – Manchester United menghasilkan kebangkitan mengejutkan untuk menewaskan Juventus dengan jaringan 2-1 awal pagi tadi dalam apa yang dilihat titik tolak dalam kempen Liga Juara-Juara mereka.

Juventus hanya beberapa saat untuk menempah tiket mara ke dalam kelompok 16 pasukan terakhir selepas Cristiano Ronaldo memastikan mereka berada di depan sebelum Juan Mata menyamakan kedudukan menerusi sepakan bebas pada minit ke-86.

Kejutan itu dilengkapkan pada minit ke-90 apabila Leonardo Bonucci menjaringkan gol sendiri, dan Pengurus United, Jose Mourinho dalam keadaan gembira meluru ke atas padang pada akhir perlawanan, menunjukkan reaksi gerak isyarat ke arah penyokong tuan rumah.

Bekas jurulatih Inter itu berkata ia adalah tindak balas terhadap penghinaan dari penyokong Juventus, dan United sekarang dua mata di belakang pasukan dari Itali itu dalam Kumpulan H.

“Di bandar raya indah Itali, mereka menghina saya selama 90 minit. Saya tidak menghina mereka. Saya hanya melakukan perkara kecil,” kata Mourinho kepada BT Sport.

Mata (kanan) meraikan jaringannya melalui sepakan percuma dalam perlawanan yang menyaksikan Manchester United bangkit mengalahkan Juventus dengan jaringan 2-1 di Stadium Allianz. – AFP

Ronaldo menjaringkan gol pertamanya untuk Juventus dalam saingan Eropah melalui sepakan voli cantik dan meletakkan juara Itali itu di hadapan selepas 65 minit perlawanan, dua minggu selepas Dybala menjaringkan satu-satunya gol di Old Trafford.

Tetapi jaringan daripada sepakan percuma pemain gantian Mata pada minit ke-86 mencetuskan kebangkitan United dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Penyokong tuan rumah di Stadium Allianz tergamam apabila tendangan bebas Young dari sisi kiri melantun masuk ke dalam gawang selepas perebutan perebutan berlaku antara Bonucci dan Alex Sandro.

“Ia adalah kemenangan besar bagi kami, bukan hanya kerana kami memerlukan mata tetapi ia juga adalah perlawanan di gelanggang luar menentang pasukan yang hebat.”

Keputusan itu adalah satu tamparan kepada Valencia di tangga ketiga, dan masih ketinggalan dua mata di belakang United, setelah menewaskan Young Boys 3-1 di Mestalla. – AFP