United bangkit sekat Gunners

MANCHESTER, 6 Dis – Manchester berjaya mengelakkan satu lagi keadaan memalukan apabila Anthony Martial dan Jesse Lingard masing-masing menjaringkan satu gol dalam kebangkitan di Old Trafford bagi meraih keputusan seri 2-2 dengan Arsenal dan memberikan sedikit ruang bernafas buat pengurusnya Jose Mourinho.

Arsenal melebarkan catatan tanpa kalah mereka menjadi 20 perlawanan dan berada di depan menerusi Shkodran Mustafi dan Alexandre Lacazette dalam setiap separuh masa, hanya mendapati United pantas memberikan tindak balas.

Tetapi skuad Mourinho masih kekal lapan mata dari kedudukan empat teratas selepas empat perlawanan liga tanpa kemenangan.

Mourinho memilih untuk tidak menurunkan dua pemain bintangnya yang tidak berada pada prestasi terbaik, Paul Pogba dan Romelu Lukaku, bahkan ketika United bolos terlebih dahulu, buat kali ke-11 dalam 21 perlawanan musim ini, penyokong mungkin merasakan perkara buruk bakal terjadi.

Gol pembukaan Arsenal terhasil daripada kesilapan penjaga gol United, David de Gea.

Lacazette (kanan) ketika menjaringkan gol kedua Arsenal meskipun cuba dihalang oleh dua pemain pertahanan Man United di Old Trafford. – AP

Chris Smalling tergelincir ketika satu sepakan sudut Lucas Torreira pada minit ke-26, membolehkan Mustafi mendapat ruang untuk melakukan tandukan ke arah gol.

Ia seolah-olah satu aksi menyelamat yang biasa buat De Gea namun dia hanya berjaya menolak bola ke atas, dengan dua tangan, melepasi garisan gol meskipun Ander Herrera sedaya upaya menendang keluar bola.

Namun United kerap bangkit selepas ketinggalan musim ini.

Marcos Rojo melepaskan satu rembatan kencang yang menyaksikan Bernd Leno hanya mampu menepisnya.

Herrera bertindak balas dengan pantas, meskipun ulang tayang menunjukkan dia mungkin berada di kedudukan ofsaid, mendapatkan bola yang terlepas dan membuat hantaran kembali ke tengah di mana Martial berjaya menyudahkannya.

Corak dramatik itu berulang lagi selepas 68 minit apabila Arsenal meraih semula pendahuluan mereka, dan kali ini hanya mendapati ia hanya bertahan selama 74 saat.

Lacazette, yang bergandingan dengan Henrikh Mkhitaryan, berada dalam petak bahaya di mana Rojo melakukan terjahan dari belakang dan hanya berjaya menjatuhkan penyerang Perancis itu tetapi gagal menghalang bola memasuki gawang.

Tetapi tindak balas United memang tidak boleh dipertikaikan apabila Arsenal panik mengawal hantaran jauh tidak lama selepas sepak mula United.

Lukaku mencetuskan kacau-bilau dalam kawasan Arsenal dan ketika Sead Kolasinac cuba membuat hantaran ke arah penjaga golnya, dia membolehkan Lingard merampasnya dan membuat penyudah kemas menewaskan Leno. – AFP