United benam Norwich 1-0

NORWICH, 12 DIS – Ralf Rangnick mempersoalkan bahasa badan pemain Manchester United selepas sepakan penalti Cristiano Ronaldo menghadiahkan kemenangan ‘tuah’ 1-0 ke atas Norwich, semalam.

Ronaldo memenangi dan seterusnya menyempurnakan sepakan pe-nalti untuk memberikan kemenangan kedua berturut-turut Rangnick di Liga Perdana Inggeris sejak menggantikan Ole Gunnar Solskjaer yang dipecat.

United mendapati sukar untuk mengawal perlawanan bagi tempoh yang lama dan David de Gea terpaksa membuat beberapa aksi menyelamat sebelum Ronaldo mencetak gol ke-13 sejak kembali bersama United dari Juventus pada Ogos.

“Ia adalah perlawanan sangat sengit, sangat fizikal,” jelas Rangnick. “Kami perlu mampu bersaing dalam tahap sebegini. Masih ada ruang untuk diperbaiki.

“Pada separuh masa kedua kami beraksi lebih baik namun pada penghujung perlawanan kami bertuah untuk tidak dibolosi.

“Ia turut persoalan mengenai bahasa badan dan keadaan fizikal di mana ini adalah satu isu besar yang kami perlu perbaiki.” – AFP