United bertembung City di separuh akhir Piala Liga

LONDON, 24 DIS – Manchester United akan bertemu dengan seteru mereka, Manchester City dalam saingan Piala Liga peringkat separuh akhir selepas meraih kemenangan dramatik 2-0 ke atas Everton.

United mendominasi perlawanan dalam pertembungan suku akhir di Goodison Park, tetapi mereka menunggu sehingga minit ke-88 untuk memecah kebuntuan melalui penyerang mereka, Edison Cavani.

Bekas penyerang Paris Saint-Germain meledak gol keempat buat United sejak menyertai pasukan secara percuma pada bulan Oktober, menjaringkan gol di tempat yang sama ketika dia meledak gol sulung buat kelab pada bulan lalu.

Anthony Martial tidak lama kemudian menggandakan gol United pada masa kecederaan.
“Jaringan Cavani boleh tahan! Dia adalah penyerang berkualiti.

“Kami tahu jika kami bertahan dengan baik dan mempunyai pemain untuk memenangi perlawanan,” kata pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.

Aksi penjaga gol Manchester United, Dean Henderson menyelamatkan bola tandukan Yerry Mina semasa pertemuan di Goodison Park. – AP

“Semangat dalam pasukan adalah baik dan ia memberikan kami semangat untuk memasuki perayaan Krismas.”

Selepas tempoh yang tidak menentu yang meningkatkan persoalan mengenai masa depan Solskjaer selepas mereka tersingkir dari Liga Juara-Juara, kini United kembali menemui rentak.

Mereka menduduki tangga ketiga di Liga Perdana Inggeris dan memenangi kesemua tiga perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan.

Kali terakhir United menjulang piala adalah semasa me-reka memenangi Liga Europa pada 2017.

Solskjaer, pemenang sembilan trofi kejuaraan utama sebagai pemain bersama United, mengambil alih jawatan di Old Trafford pada 2018 dan pasukannya tewas dalam tiga perlawanan di peringkat separuh akhir musim lalu.

Dia kini berpeluang untuk meraih piala pada musim ini selepas United diundi menentang pemegang piala, Manchester City di peringkat separuh akhir.

“Perkara terburuk dalam perlawanan adalah tewas dalam pusingan separuh akhir. Kami akan memberikan segala-galanya yang kami mampu untuk memenangi perlawanan.” – AFP