MANCHESTER, 30 Jan – Manchester United mempertahankan rekod tanpa kalah Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengendali dengan jaringan dua gol pada saat akhir dalam aksi penuh dramatik untuk seri 2-2 dengan Burnley pada saingan Liga Perdana Inggeris, hari ini.
Keputusan itu mengakhiri rekod kemenangan berturut-turut Solskjaer dalam lapan perlawanan sejak pengendali dari Norway mengambil alih tugas Jose Mourinho sebelum Krismas tahun lepas.
Solskjaer mampu menarik nafas lega apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas Ashley Young membuat hantaran lintang pada minit ke-92, dengan tandukan Alexis Sanchez yang diselamatkan oleh Tom Heaton dan jaringan penyamaan menerusi Victor Lindelof di Old Trafford.
Sebelum itu, sentuhan Solskjaer seakan-akan tidak menjadi pada perlawanan itu apabila Andreas Pereira, yang diturunkan buat kali ketiga musim ini oleh pengurusnya, memberikan Burnley jaringan pembukaan selepas 51 minit apabila menerima hantaran daripada rakan sepasukan Phil Jones.
Selepas minit ke-80 dan beberapa kekecewaan yang dialami Marcus Rashford setelah gagal meledakkan jaringan, Burnley terus menggandakan kedudukan mereka apabila Ashley Westwood memberi umpanan kepada Chris Wood untuk menanduk masuk bola. – AFP

































