Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    United catat kemenangan pertama tundukkan Liverpool

    MANCHESTER, 23 OGOS – Erik ten Hag mencatatkan kemenangan pertama sebagai pengurus Manchester United hasil jaringan daripada Jadon Sancho dan Marcus Rashford untuk menewaskan seteru rapat, Liverpool 2-1 di Old Trafford, awal pagi tadi.

    United memulakan perlawanan dengan berada di kedudukan tercorot Liga Perdana Inggeris, namun kini berada di atas Liverpool pada malam yang penting untuk pengurus baharu dari Belanda itu.

    Jangkaan Liverpool untuk mencabar kejuaraan semakin pudar dengan anak buah Jurgen Klopp setakat ini gagal mencatatkan kemenangan dalam tiga perlawanan di Liga Perdana.

    Sebelum perlawanan bermula, peminat United berarak di Old Trafford bagi membantah pengambilan pemilik kelab keluarga Glazer.

    Hantaran di media sosial meminta peminat untuk memboikot perlawanan susulan kekalahan memalukan 4-0 di tangan Brentford minggu lalu gagal direalisasikan.

    Aksi Jadon Sancho menjaringkan gol pertama perlawanan menentang Liverpool di Old Trafford, awal pagi kelmarin. – AP

    Tetapi meskipun United melakar kemenangan pertama liga ke atas Liverpool sejak 2018, peminat masih melaungkan ‘Kami mahu keluarga Glazer keluar’ sepanjang 90 minit perlawanan.

    Ten Hag memberi respons selepas dibolosi empat gol dalam masa 35 minit di Brentford dengan menggugurkan Cristiano Ronaldo dan ketua pasukan Harry Maguire yang menjadi empat pemain yang ditukar.

    Selepas menjadi pengurus United pertama dalam tempoh lebih satu abad untuk tewas dua perlawanan pertama mereka, bekas pengendali Ajax mendapat respons yang diinginkannya dalam setengah jam awal perlawanan yang membuatkan Liverpool terpaku.

    “Kita boleh bercakap mengenai taktik tetapi yang paling penting adalah sikap pemain,” kata Ten Hag.

    Anthony Elanga sepatutnya menjaringkan gol pembukaan apabila percubaan lentangnya sekadar terkena tiang selepas dua hantaran daripada Scott McTominay dan Bruno Fernandes membuatkan Liverpool terdedah.

    Bahagian pertahanan yang tidak teratur berulang kali membuatkan Liverpool gagal mencatat kemenangan pada musim ini dan mereka gagal belajar daripada kesilapan dari gol pertama pada minit ke-16. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...