United dibenarkan pasang tempat duduk dengan penghadang

LONDON, 30 APRIL – Manchester United telah diberikan kebenaran untuk memasang 1,500 tempat duduk dengan penghadang untuk percubaan ketika Old Trafford dibuka kembali kepada penyokong.

Penggunaan tempat duduk dengan alat penghadang telah dipersetujui berikutan perubahan peraturan dan kajian kelayakan yang dilakukan oleh kelab.

Peminat tidak dibenarkan untuk menghadiri perlawanan sekurang-kurangnya untuk tempoh beberapa bulan dengan bola sepak di Britain telah ditangguhkan kerana penularan wabak koronavirus.

Walaupun dengan perlawanan disambung semula, ia besar kemungkinan akan diadakan tanpa kehadiran peminat.

Akan tetapi United berkeras kerja-kerja boleh dilakukan pada projek tersebut dengan masih mematuhi garis panduan penjarakan sosial untuk memastikan ia siap apabila penyokong telah kembali.

“Ia kedengaran pelik untuk bercakap mengenai pelan stadium pada ketika ini, tetapi bola sepak dan peminat kami akan kembali apabila ia selamat, dan persediaan kami untuk itu mesti diteruskan,” kata pengarah pengurusan, Richard Arnold.

“Pengumuman ini adalah langkah terkini dalam perjalanan panjang bagi peminat kami.

“Kami mendengar maklum balas mereka, khususnya, perwakilan yang dibuat oleh MUST (Badan amanah peminat kelab Manchester United), dan bekerjasama dengan Majlis Trafford untuk membangunkan dan meluluskan cadangan ini.”

Arnold berkata penghadang tempat duduk itu boleh menambah keselamatan kepada peminat di kawasan bawah di mana peminat berterusan menyaksikan perlawanan dengan berdiri dan percubaan dapat dilanjutkan ke kawasan lain di stadium. – AFP

Manchester United telah diberikan kebenaran untuk memasang 1,500 tempat duduk dengan penghadang setelah mendengar maklum balas dari peminat. – Agensi