Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    United duduki tangga tercorot

    LONDON, 14 OGOS – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag berkata dia ‘bertanggungjawab sepenuhnya’ selepas kekalahan memalukan 0-4 kepada Brentford di tempat lawan sekali gus meletakkan raja bola sepak Inggeris itu di tangga tercorot Liga Perdana.

    Brentford yang kembali muncul dalam persaingan liga utama bola sepak Inggeris selepas 74 tahun pada Ogos 2021 meledakkan empat gol dalam tempoh 35 minit perlawanan untuk mencetuskan suasana gembira buat penyokong mereka di kawasan barat London.

    United ketinggalan dengan cara penuh menyedihkan apabila penjaga gol David de Gea tanpa sebarang sebab membiarkan rembatan Josh Dasilva terlepas daripada genggamannya sebelum Mathias Jensen meledak ketika pasukan pelawat leka di bahagian pertahanan.

    Ben Mee kemudiannya mendedahkan kelemahan United daripada bola mati untuk gol pertamanya di Brentford dan Bryan Mbuemo melengkapkan serangan balas yang menakjubkan 10 minit sebelum separuh masa pertama tamat.

    Bekas pengurus Ajax, Ten Hag telah menyaksikan United bangkit daripada kekalahan kepada Brighton di Old Trafford minggu lalu namun kekalahan kali ini menyaksikan Red Devils berada di tangga tercorot buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.

    Aksi Josh Dasilva (dua, kiri) meraikan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan di antara Brentford dan Manchester United di Stadium Gtech Community di London pada 13 Ogos 2022. – AP

    “Awda perlu bertanggungjawab di atas padang sebagai satu pasukan dan sebagai individu itulah yang kami tidak lakukan,” beritahu Ten Hag kepada Sky Sports.

    “Apa yang saya minta mereka lakukan adalah bermain dengan penuh kepercayaan dan bertanggungjawab untuk prestasi cemerlang. Kami perlu berusaha untuk mencapainya.”

    Dia berkata, “Pengurus juga bertanggungjawab. Dia mempunyai tanggungjawab dan saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan kali ini.

    Dalam masa yang sama, pengendali dari Belanda itu berkata bahawa pemain-pemainnya perlu bertanggungjawab selepas deretan kesilapan individu membawa kepada kekalahan memalukan di Stadium Komuniti Brentford itu.

    Ten Hag, 52, berkata skuadnya perlu diperkuat dengan pemain-pemain lebih berkualiti.

    “Ia amat teruk sekali. Kami perlu standard lebih tinggi daripada itu, ia jelas sekali.

    Dalam temu bual berasingan dengan BBC, pengurus United itu berkata pasukannya perlu ‘bersedia untuk pertarungan.”

    Kali terakhir United menjulang trofi kejuaraan liga adalah pada musim 2012/13 ketika di bawah kendalian pengurus Alex Ferguson sebelum bersara. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua gempa berukuran 6 dan 6.3 magnitud landa timur Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Dua gempa bumi berukuran 6 dan 6.3 magnitud melanda tengah Daerah Hualien di timur Taiwan masing-masing pada 2:26 pagi dan 2:32 pagi ini,...