United hadiahkan Astana kemenangan

PARIS, 29 NOV – Juara Kazakhstan, Astana mengejutkan pemain muda Manchester United setelah menang 2-1 dalam perlawanan Liga Eropah, kelmarin.

Kapten United Jesse Lingard menjaringkan gol pembukaan buat pelawat, yang telah layak ke kelompok 32, sebelum Dmitri Shomko menyamakan kedudukan tuan rumah. Pemain berusia 19 tahun, Di’Shon menjaringkan gol di gawang sendiri memberikan kemenangan percuma Astana mengalahkan United yang rata-rata pemainnya berusia 22 tahun.

Ketua jurulatih United Ole Gunnar Solskjaer berkata beberapa pemain muda menunjukkan persembahan yang baik bagi menentang Alkmar di pusingan akhir peringkat kumpulan pada 12 Disember depan.

“Ada masa kami sangat baik tetapi ada percaturan kami memberikan keputusan yang kurang baik,” katanya.

“Pemain-pemain telah belajar banyak dan memberikan saya sesuatu untuk difikirkan, saya sangat gembira dengan mereka.”

Aksi Sergei Khizhnichenko semasa perlawanan Kumpulan L Liga Eropah antara Astana dan Manchester United di Nur-Sultan. – AFP

Sementara itu, Shomko memberitahu UEFA.com keputusan itu masih berlegar-legar di kepalanya.

“Saya akan memberitahu cucu-cucu saya, ‘dahulu saya menjaringkan gol sewaktu bertemu Manchester United’ . Tidak penting siapa yang menjaringkan gol tetapi yang lebih penting adalah kami menang,” katanya.

Solskjaer melakukan 11 perubahan dari perlawanan Ahad bertemu Sheffield United dengan meletakkan pemain Ethan Laird, Dylan Levitt, Bernard dan Max Taylor di bangku simpanan.

United membuka jaringan selepas 10 minit perlawanan bermula apabila tendangan rendah Lingard dari luar kotak penalti menewaskan Nenad Eric di sebelah kanannya.

Shomko menyamakan kedudukan pada minit ke-55 ketika dia berusaha dari dalam kotak menerjah gawang United. Tiga mata penuh Astana hadir apabila Bernard menjaringkan gol sendiri tujuh minit kemudian.

Astana tersingkir dari terus mara ke pusingan kalah mati menjelang pusingan kelima dalam Kumpulan L. – AFP