LONDON, 23 SEPT – Manchester United kelmarin mengumumkan kerugian sebanyak 115.5 juta pound untuk musim 2021/22 walaupun pendapatan mereka meningkat kepada 583 juta pound apabila sekatan koronavirus dilonggarkan.
Tahun kewangan United hingga 30 Jun 2022 juga menunjukkan peningkatan 22 peratus dalam hutang dan kenaikan 19 peratus dalam gaji.
Hutang bersih juara Inggeris 20 kali itu meningkat daripada 419.5 juta pound pada 2021 kepada 514.9 juta pound.
United mengaitkan peningkatan hutang disebabkan kejatuhan pound yang meningkatkan nilai pinjaman dolar AS.
Antara sumbangan besar lain ialah dividen 33.6 juta pound kepada pemegang saham dan pakej pampasan 24.7 juta pound untuk bekas pengurus Ole Gunnar Solskjaer, dipecat pada November 2021.

Penyumbang terbesar kepada kenaikan kos United ialah kenaikan gaji kepada 384.2 juta pound.
Kepulangan Cristiano Ronaldo ke Old Trafford, selain kehadiran pemain musim panas Raphael Varane dan Jadon Sancho membuatkan penyokong United mengimpikan cabaran kejuaraan Liga Perdana setahun lalu.
Sebaliknya, mereka menduduki tempat keenam, dengan jumlah mata terendah dalam era Liga Perdana.
Kegagalan untuk layak ke Liga Juara-Juara akan menjejaskan kewangan United untuk musim ini.
Kelab itu masih banyak menyokong pengurus baharu Erik ten Hag pada musim panas, membelanjakan lebih 200 juta pound untuk Antony, Casemiro, Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia.
United ketika ini berada di tangga kelima, enam mata di belakang pendahulu liga Arsenal dengan perbezaan satu perlawanan. – AFP