SOUTHAMPTON, 15 SEPT – Manchester United beri ruang untuk bernafas kepada pengurus Erik ten Hag apabila menang 3-0 di Southampton kelmarin hasil jaringan Matthijs de Ligt, Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho.
Bagaimanapun, United terpaksa mengharungi serangan awal Southampton dan keputusannya mungkin jauh berbeza sekiranya Andre Onana tidak menyelamatkan sepakan penalti Cameron Archer semasa kedudukan 0-0.
Gol pertama United De Ligt dan gol pertama Rashford selama enam bulan dengan cepat mengubah momentum memihak kepada pelawat sejurus sebelum separuh masa.
Kesengsaraan Southampton bertambah apabila kapten Jack Stephens dilayangkan kad merah 11 minit sebelum tamat perlawanan kerana mencabar Garnacho, yang melengkapkan jaringan pada masa kecederaan.
Saints kekal tanpa mata daripada empat perlawanan apabila kembali ke Liga Perdana, manakala kemenangan kedua United musim ini melonjakkan mereka ke tangga kelapan.
Ten Hag memulakan kempen dengan sedikit kebimbangan dengan semakan dalaman mengenai kedudukannya pada Mei berikutan kedudukan tempat kelapan dalam Liga Perdana musim lalu.
Kekalahan berturut-turut sebelum rehat antarabangsa kepada Brighton dan Liverpool telah meningkatkan lagi tekanan ke atas jurulatih Belanda itu dan Red Devils sememangnya mahukan kemenangan segera di stadium St. Mary
Ten Hag menyimpan Casemiro selepas mempamerkan mimpi ngerinya dalam kekalahan 3-0 kepada Liverpool, tetapi pemain baharu Manuel Ugarte juga terpaksa menunggu penampilan sulungnya sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
United masih bergelut untuk mengawal bahagian tengah pada suku pembukaan dan terhutang budi dengan penyelamatan penalti Onana sebagai titik perubahan dalam permainan.
United mendahului apabila De Ligt yang menghadapi minggu yang sukar dengan pasukan kebangsaan Belanda bangkit untuk membuka jaringan dengan tandukan hasil dari hantaran lintang Bruno Fernandes.
Rashford yang kemarau gol sejak Mac berjaya membuat jaringan apabila rembatan rendahnya dari luar kotak penalti melencong ke sudut jauh masuk ke gawang.
Seterusnya, rejaman Stephens ke lutut Garnacho menyebabkannya dilayangkan kad merah sebelum pemain Argentina itu kemudiannya menyapu garam di bahagian luka Southampton melalui jaringan hasil hantaran lintang Dalot pada minit ke-96. – AFP