United lengkapkan perpindahan Van de Beek

THE HAGUE, 3 SEPT – Pemain tengah Donny van de Beek dari Ajax menandatangani kontrak dengan Manchester United, lapor agensi berita Xinhua, memetik pengumuman kedua-dua kelab kelmarin.

Pemain Belanda berusia 23 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun dengan pilihan dilanjutkan setahun.

Bayaran perpindahan bernilai 39 juta euro (AS$46 juta), boleh meningkat menjadi 44 juta euro andai ada klausa tertentu dipenuhi.

Bintang kelahiran akademi belia Ajax itu membuat penampilan sulung pada 2015. Secara keseluruhan, beliau sudah beraksi dalam 175 perlawanan dan menghasilkan 41 jaringan.

Ketika bersama Ajax, Van de Beek pernah menjuarai Piala Eredivisie dan KNVB pada 2019 dan berjaya mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada tahun yang sama. – Bernama

Donny van de Beek dari Ajax menandatangani kontrak dengan Manchester United dengan bayaran perpindahan bernilai 39 juta euro. – AFP