STOKE-ON-TRENT, 20 Jan – Kunjungan Manchester United ke Stoke esok akan menawarkan peluang untuk membuang memori-memori buruk apabila skuad Jose Mourinho dilihat mahu mendekati kedudukan empat teratas Liga Perdana.
Tempoh suram United pada musim lepas muncul dalam jadual perlawanan ini, di mana ia dipenuhi dengan spekulasi mengenai masa depan Louis van Gaal yang merupakan pengurus United ketika itu, mereka bermain dengan teruk dan tewas 2-0 ketika ‘Boxing Day’.
Van Gaal, seperti yang sudah diketahui, terus kekal dengan jawatannya selama lima bulan kemudiannya sebelum dipecat bagi memberi laluan kepada pengurus United pada masa ini, Jose Mourinho.
Sebenarnya pada masa ini United satu kedudukan lebih rendah dalam Liga Perdana berbanding pada musim lepas, tetapi mereka kini menunjukkan kebangkitan, dengan melalui 16 perlawanan tanpa kalah dalam semua persaingan.

Namun United masih berada di tangga keenam selama lebih dua bulan, tetapi ketinggalan sembilan mata dengan empat pasukan teratas awal bulan Disember, jurang itu kini dikurangkan kepada empat mata.
Ia mungkin menjadi dua mata jika skuad Mourinho berjaya menewaskan Liverpool hujung minggu lepas, tetapi oleh sebab ketinggalan dalam sebahagian besar perlawanan, mereka mempunyai alasan untuk berpuas hati dengan seri 1-1 itu, yang diperolehi melalui jaringan Zlatan Ibrahimovic.
United, yang telah memenangi empat perlawanan di laman lawan kebelakangan ini, mempunyai lebih kurang skuad penuh, dengan hanya ketiadaan pertahanan tengah Eric Bailly, yang bersama Ivory Coast bagi Piala Negara-Negara Afrika. Mourinho berpuas hati dengan saiz skuadnya sehingga membenarkan penjualan pemain sayap Memphis Depay ke Lyon. – AFP
































