United mara ke final, meski tumbang di Rom

ROM, 7 MEI – Manchester United mara ke pusingan akhir Liga Europa dengan agregat 8-5, kelmarin meskipun tewas 3-2 kepada Roma di Stadio Olimpico.

Pasukan Liga Perdana Inggeris itu akan bermain menentang Villarreal di pusingan akhir pada 26 Mei di Gdansk.

Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer mendahului Roma 6-2 pusingan pertama dan Edison Cavani menjaringkan gol pada minit ke-39 dan ke-68 untuk memastikan kedudukan mereka di final terjamin.

Roma mendahului perlawanan pada pertengahan separuh masa kedua dengan jaringan daripada Edin Dzeko dan Bryan Cristante dan jaringan sendiri daripada Alex Tellas memastikan pasukan tuan rumah di hadapan di pusingan kedua dengan perlawanan berbaki tujuh minit.

Roma berjuang dari ketinggalan dengan Gianluca Mancini memaksa penjaga gol United, David De Gea melakukan aksi menyelamat dan percubaan Henrikh Mkhitaryan pula ditampan keluar.

Reaksi Edison Cavani selepas menjaringkan gol buat Manchester United di Liga Europa pusingan separuh akhir. – AP

Cavani berulang kali memberi ancaman, membuat percubaan setelah Roger Ibanez namun hanya setakat menggegar tiang gol dan kemudian memaksa penjaga gol Roma, Antonio Mirante menyelamatkan bola.

Pemain Uruguay itu akhirnya berjaya memecah kebuntuan sebelum separuh masa, menyambut bola hantaran Bruno Fernandes sebelum membuat percubaan menewaskan Mirante. De Gea sekali lagi menyelamatkan bola sepakan Mkhitaryan dan Dzeko di kedua-dua babak.

Dzeko, 33, menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-57 apabila dia menanduk bola hantaran lintang Pedro untuk menewaskan De Gea.

Cristante menyumbat gol kedua tiga minit kemudian, bermain dengan baik bersama Lorenzo Pellegrini untuk membangkitkan harapan Roma.

De Gea kemudian berjaya menyelamatkan dua percubaan dari tandukan Dzeko dan percubaan susulan Pedro dan Cavani sekali lagi menyumbat gol selepas minit ke-68 apabila dia menanduk masuk bola hantaran lintang Bruno Fernandes menewaskan Mirante. – AFP