United menang besar

LONDON, 27 JAN – Bos Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer yang terlalu dahagakan kemenangan selepas tewas kepada Liverpool 2-0 dan Burnley tujuh hari lepas mendapat respons terbaik dengan kemenangan besar menentang Tranmere dengan jaringan 6-0.

United membelasah kelab divisyen tiga, Tranmere Rovers untuk menyertai Manchester City ke pusingan kelima Piala FA.

“Kemenangan ini sedikit memberi tekanan kepada kami tetapi kami telah menikmatinya.

“Ia adalah padang yang sukar tetapi kami telah melaluinya dengan cara yang betul, hanya bekerja keras dan bermain dengan penuh fokus dan hasilnya telah terbukti,” tambah Solskjaer.

Tranmere tewas hasil jaringan awal Harry Maguire sebelum United terus mengganas menerusi jaringan Diogo Dalot, Jesse Lingard, Phil Jones dan Anthony Martial pada separuh masa pertama.

Mason Greenwood menambah lagi gol menerusi sepakan penalti di babak kedua, sekali gus menyaksikan buat kali pertama sejak tahun 1892 enam pemain berlainan menjaringkan gol untuk United dalam satu-satu perlawanan.

Penyokong United dilihat menyanyikan lagu menentang keluarga Glazer yang memiliki kelab itu serta naib presiden, Ed Woodward meskipun pasukan berjaya meledak gol demi gol. – AFP

Reaksi Harry Maguire ketika meraikan jaringan selepas mencetak gol pada perlawanan menentang Tranmere Rovers di Prenton Park, Birkenhead, England, 26 Januari. – AP