‘United perlu ambil iktibar’

MANCHESTER, United Kingdom, 13 Feb – Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United dikejutkan dari lena selepas Paris Saint-Germain (PSG) mencatat kemenangan 2-0 pada aksi pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Solskjaer tewas buat kali pertama dalam 12 perlawanan sebagai pengendali sementara United apabila jaringan Presnel Kimpembe dan Kylian Mbappe pada separuh masa kedua mengejutkan Old Trafford.

Ia adalah hari yang cukup mengecewakan buat Solskjaer, yang mencetuskan semangat dalam kalangan pemain dan peminat United sejak menggantikan Jose Mourinho yang dipecat pada Disember.

Solskjaer mengakui bahawa United, yang hanya melakukan satu percubaan tepat dalam aksi kurang menyengat itu, memiliki kualiti yang jauh ketinggalan berbanding skuad juara Perancis itu.

“Hari ini adalah kejutan realiti bagi kami dari aspek tahap dengan pasukan utama. Mereka memiliki momentum selepas gol pertama dan mengawal perlawanan,” kata Solskjaer.

Reaksi Solskjaer (kanan) dan Mata selepas perlawanan United dengan PSG dalam saingan kelompok 16 teratas Liga Juara-Juara di Old Trafford, Manchester. – AFP

“Anda boleh lihat sudah lama kami tidak bermain pada tahap seperti ini dan perlu ambil iktibar.

“Ia satu pengalaman yang boleh memberi kesan positif atau sebaliknya, bukannya penentu pencapaian musim ini, jadi kita perlu belajar daripadanya.”

Penyingkiran Pogba adalah kemuncak aksi lemah daripada pemain yang membawa pengaruh besar terhadap kebangkitan United di sepanjang kendalian Solskjaer.

Namun Sokskjaer berkata Pogba tidak layak untuk diberikan kad kuning kedua ke atas kekasarannya terhadap Dani Alves.

“Paul cuba melindungi bola dengan badannya dan Dani Alves dengan pantas mengangkat kakinya untuk merebut bola. Paul mahu melindungi bola, dia tidak bernasib baik,” katanya.

Malah kecederaan Jesse Lingard dan Anthony Martial tidak membantu aksi United dan Solskjaer mengakui kehilangan kedua-dua pemain itu satu tamparan hebat buatnya.

“Kami memiliki pemain berkualiti dan Lingard dan Martial memberikan kami sesuatu, harap kecederaan mereka tidak terlalu serius,” tambah pengurus dari Norway itu. – AFP