MANCHESTER, 7 Mei – Manchester United ketika era Ole Gunnar Solskjaer dibina untuk menjaringkan gol yang memenangi Liga Juara-Juara, tetapi 20 tahun kemudian, Solskjaer berkata bahawa skuad United yang diambil alihnya sebagai pengurus adalah tidak layak untuk kejohanan itu.
Skala tugasan yang dihadapi Solskjaer terbentang luas dalam perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 di Huddersfield, yang sudah tersingkir, baru-baru ini, di mana keputusan itu telah mengesahkan United gagal menamatkan musim di kedudukan empat teratas dan terpaksa menerima hadiah sagu hati untuk berada dalam persaingan Liga Europa musim depan.
“Kami tidak berada dalam Liga Juara-Juara tetapi saya fikir itu adalah gambaran sebenar. Kedudukan carta tidak menipu,” akui Solskjaer ketika dia menyaksikan United hanya menang dua dari 11 perlawanan, melenyapkan keterujaan beberapa bulan pertamanya sebagai pengurus sementara.
Rombakan besar-besaran pada musim panas diperlukan, tetapi salah pengurusan selama bertahun-tahun bermakna United berada pada kedudukan yang kurang menarik untuk menarik pembeli buat pemain-pemain yang menerima gaji besar di Old Trafford. – AFP