United ‘renjat’ Watford

WATFORD, United Kingdom, 16 Sept – Jose Mourinho memuji semangat skuad Manchester United setelah mereka berjaya menghalang asakan lewat Watford sebelum menang 2-1 dalam Liga Perdana Inggeris sekali gus mengurangkan tekanan yang dihadapinya.

United berdepan permulaan buruk pada musim ini, tewas dua perlawanan daripada empat perlawanan dan ketinggalan daripada rentak yang dimainkan oleh Liverpool, Chelsea dan Watford.

Namun, dua gol dalam tempoh tiga minit perlawanan pusingan pertama menerusi Romelu Lukaku dan Chris Smalling telah memberikan mereka ruang untuk bernafas lega dan meletakkan mereka di laluan selesa untuk memadam rekod sempurna Watford sebelum ini.

Digegarkan dengan penyudah United pada separuh masa pertama, Watford bagaimanapun berjaya mengurangkan tekanan menerusi Andre Gray namun gagal untuk mencari gol penyamaan.

Mourinho yang kelihatan tenang memuji Lukaku dan Marouane Fellaini.

Nemanja Matic bersaing mempertahankan bola daripada Gray semasa pertemuaan yang berlangsung di Stadium Vicarage Road di Watford, England, kelmarin. – AFP

“Saya sangat gembira dengan keputusan. Saya benar-benar gembira dengan semangat yang ditunjukkan, gembira dengan sesuatu yang mewakili diri saya dan pasukan iaitu apabila Lukaku melakukan terjahan selepas berlari 50m ke bawah bagi membantu pasukan.”

Pengendali dari Portugal itu berkata dia memilih Fellaini untuk menguatkan benteng pertahanan dalam beberapa perlawanan sebelum ini selepas kesilapan di bahagian itu mencetuskan kekalahan kepada Brighton dan Tottenham.

“Saya berasakan pertahanan tengah saya, kini tidak stabil dan memerlukan seseorang untuk menyokong mereka terutama dari segi fizikal. Namun, Marouane memberikan kami lebih daripada itu – dia memberikan kami apa yang diinginkan tapi dia juga memberikan kami kualiti dan memudahkan lagi permainan.” – AFP