MANCHESTER, 27 Ogos – Jose Mourinho memuji kecekalan Manchester United apabila jaringan separuh masa kedua menerusi Marcus Rashford dan Marouane Fellaini merobohkan benteng pertahanan Leicester City dalam kemenangan 2-0 yang penuh tegang.
United mendominasi perlawanan di Old Trafford awal pagi tadi, tetapi permulaan 100 peratus mereka dalam Liga Perdana dalam bahaya selepas penalti Romelu Lukaku diselamatkan oleh Kasper Schmeichel.
Skuad Mourinho terus memberikan tekanan dan Rashford, dimasukkan sebagai pemain simpanan, akhirnya memberikan United pendahuluan yang dicari-cari apabila dia menjaringkan gol pertama perlawanan dengan perlawanan berbaki 20 minit.
Fellaini, yang juga dimasukkan sebagai pemain simpanan, memastikan kemenangan ketiga berturut-turut United lapan minit sebelum perlawanan berakhir, meraih pujian Mourinho atas cara pasukannya yang tidak berpatah semangat dengan gaya bertahan Leicester.
“Saya fikir kami bermain dengan sangat baik. Dinding biru sangat teratur dan saya memujinya. Mereka bertahan dengan sangat baik,” kata Morinho.
“Perlawanan masih terbuka pada 0-0, tetapi kami tetap tenang dan mengawal bola.
“Kami terlepas satu sepakan penalti tetapi selepas itu saya melihat pasukan saya bermain dengan keyakinan. Kami layak mendapat keputusan.
Mourinho menolak untuk menerima pujian atas tindakannya membuat pertukaran yang telah mengubah perlawanan, mengalihkan tumpuan itu kepada para pemainnya.
“Ia bukan saya. jika saya tidak mempunyai mereka di bangku simpanan, saya tidak mungkin dapat membuat pertukaran berjaya,” katanya.
“Para pemain sangat bagus dan bermotivasi. Mereka bekerja keras, mereka menunggu peluang dan mereka berjaya memecahkan benteng.”
Permulaan cemerlang United, 10 gol tanpa bolos, telah mula mencetuskan pendapat bahawa pendahulu itu sebagai pilihan juara dan Mourinho gembira dengan persembahan mereka.
“Saya sangat menyukai pasukan saya tetapi tiga perlawanan dan sembilan mata bukan sesuatu yang baru bagi kami kerana musim lepas ia juga adalah tiga perlawanan dan sembilan mata.” – AFP