United Russia peroleh majoriti dua pertiga undi

MOSCOW, 20 SEPT – Parti pemerintah, United Russia mendakwa sudah memperoleh majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Parlimen, pilihan raya yang didakwa berlaku penipuan oleh pembangkang.

Setiausaha Agung United Russia, Andrei Turchak berkata parti itu memenangi 315 daripada 450 kerusi yang dipertandingkan. Beliau berkata United Russia berjaya memperoleh kemenangan yang bersih dan meyakinkan, selain mendakwa tiada sebarang salah laku dalam pilihan raya berkenaan.

Katanya, parti itu turut memenangi pilihan raya tempatan di 39 wilayah.

Pilihan Raya Parlimen dan tempatan itu diadakan susulan kejatuhan pembangkang termasuk penahanan pengkritik utama Kremlin, Alexei Navalny.

United Russia kini berada di hadapan dengan 49.76 daripada 85 peratus undi yang sudah dikira, diikuti Parti Komunis dengan 19.61 peratus.

Sekutu Navalny mendakwa berlaku pemalsuan undi besar-besaran pada pi-lihan raya berkenaan terutama berkaitan kelewatan pengumuman keputusan pemilihan secara elektronik.

“Ini adalah sesuatu yang amat pelik. Saya masih ingat ketika mereka mencuri pada pilihan raya 2011. Perkara sama berlaku hari ini,” menurut jurucakap Navalny, Kira Yarmysh. – AFP

Anggota suruhanjaya pilihan raya tempatan mengosongkan peti undi di sebuah stesen undi selepas hari terakhir pilihan raya parlimen di Moscow pada 19 September. – AFP