United sia-siakan peluang kemenangan

LONDON, 7 FEB – Manchester United terlepas peluang untuk berkongsi kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dua kali mensia-siakan kelebihan mendahului perlawanan dengan keputusan berakhir seri 3-3 menentang Everton.

United dilihat bakal berkongsi mata dengan pendahulu, Manchester City sehingga Dominic Calvert-Lewin berjaya menghadiahkan satu mata buat Everton pada minit ke-95 di Old Trafford.

Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer meneruskan prestasi memberangsangkan di bahagian serangan selepas membelasah Southampton 9-0 pada pertengahan minggu, dengan Edison Cavani berjaya menjaringkan gol melalui tandukan dan lambungan bola cantik dari Bruno Fernandes meletakkan United 2-0 di hadapan pada separuh masa.

Tetapi masalah pertahanan, yang melenyapkan peluang United untuk merangkul kejuaraan buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun, telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan Carlo Ancelotti selepas separuh masa perlawanan.

“Ketika menyerang kami sangat bagus tetapi kami perlu berhenti dari dibolosi dengan mudah,” kata Solskjaer, yang mendakwa jangkaan untuk mencabar kejuaraan adalah terlalu besar untuk pasukannya yang sebelum ini ketinggalan 33 mata di belakang juara Liverpool musim lalu.

“Kami tidak bercakap mengenai menjuarai kejuaraan,” tambah pengurus kelahiran Norway itu. “Masih terlalu jauh.”

Dua gol dalam tujuh minit daripada Abdoulaye Doucoure dan James Rodriguez pada awal babak separuh masa kedua meletakkan Everton kedudukan seri.

Tandukan Scott McTominay meletakkan United kembali mendahului perlawanan 20 minit sebelum masa tamat, tetapi mereka gagal untuk bertahan selepas Calvert-Lewin berjaya menjaringkan gol pada akhir perlawanan.

Satu mata diraih Everton membantu mereka untuk mengejar kelayakan Liga Juara-Juara selepas mereka menghampiri tiga mata di belakang pasukan keempat, Liverpool, yang akan menjadi tuan rumah kepada City hari ini. – AFP

Aksi penyerang Everton Calvert-Lewin menjaringkan gol untuk pasukannya di minit akhir perlawanan dalam aksi berkesudahan seri 3-3. – AP