United terima padah akibat kesilapan pemain

BERN, SWITZERLAND, 15 SEPT – Pemain gantian, Jordan Siebatcheu membuat jaringan pada minit akhir perlawanan ketika Young Boys mencatatkan kemenangan berharga 2-1 di Liga Juara-Juara menentang Manchester United yang terpaksa bermain dengan 10 pemain awal pagi tadi selepas Cristiano Ronaldo menyumbat gol pada pertama perlawanan.

Penyerang Amerika Syarikat, Siebatcheu menyambut bola hantaran ke belakang yang dibuat oleh Jesse Lingard untuk menyudahkan bola melepasi penjaga gol United, David de Gea pada minit ke-95 di hadapan peminat mereka di Stadium Wankdorf.

Ronaldo telah meletakkan United di hadapan dengan gol ketiganya dalam dua perlawanan sejak kembali ke Old Trafford.

Walau bagaimanapun, keadaan perlawanan berubah selepas Aaron Wan-Bisaka dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama selepas melakukan kekasaran berbahaya ke atas Christopher Martins sekali gus memberikan pasukan Young Boys sedikit harapan.

Pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi jaringan Nicolas Moumi Ngamaleu dan Ronaldo telah digantikan sebelum Siebatcheu menjaringkan gol kemenangan.

“Bagi sebuah kelab sebesar kami menjadi tajuk utama selama sehari dua di Eropah dan menewaskan Manchester United, salah sebuah pasukan gergasi di Eropah, adalah sesuatu yang istimewa,” kata jurulatih Young Boys, David Wagner.

Kekalahan tersebut merupakan permulaan negeri buat pasukan United yang dikendalikan oleh Ole Gunnar Solskjaer dalam Kumpulan F, terutama dengan ujian getir dalam perlawanan akan datang bertemu Atalanta dan Villarreal.

“Inilah bola sepak di pe-ringkat tertinggi, sedikit kelekaan, melakukan kesilapan dan anda pasti dihukum,” kata Solskjaer mengenai kesilapan yang dilakukan oleh anak buahnya sehingga menyebabkan Young Boys berjaya meraih kemenangan.

Selain itu, dia juga mengakui bahawa kad merah yang dilayangkan ke atas Wan-Bissaka merupakan satu keputusan terburu-buru. – AFP

Aksi Cristiano Ronaldo mengawal bola semasa pertemuan menentang Young Boys awal pagi kelmarin. – AFP