United terlepas peluang kejar City

LONDON, 4 MAC – Manchester United ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City selepas Crystal Palace mengekang mereka dalam perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan, kelmarin.

Terikat 0-0 di Selhurst Park merupakan keputusan seri tanpa gol ketiga buat United dalam semua kejohanan menjelang pertemuan derbi Manchester menentang City, yang memecah rekod mencatat kemenangan 21 perlawanan berturut-turut.

Dalam perlawanan lain, pasukan di tangga ketiga, Leicester terpaksa berterima kasih atas persembahan mantap ketua pasukan mereka, Kasper Schmeichel menyelamatkan satu mata setelah meraih keputusan seri di Burnley.

Aston Villa terlepas peluang untuk menghampiri dua mata dari kedudukan empat teratas selepas mereka mengalami kekalahan mengejut 1-0 kepada pasukan tercorot, Sheffield United, yang bertahan selama setengah jam dengan 10 orang pemain.

Dengan meraih satu mata di selatan London menyaksikan pasukan di tempat kedua, Manchester United hanya satu mata di hadapan Leicester, dengan sasaran utama bagi pasukan Ole Gunnar Solskjaer untuk bertahan di kedudukan empat teratas yang akan melayakkan mereka menyertai saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.

“Kami perlu melakukan dengan lebih baik, kami mempunyai lebih banyak risiko di bahagian serangan untuk mencipta lebih banyak peluang,” menurut pemain tengah United, Nemanja Matic, yang nyaris memecah kebuntuan dengan percubaannya melantun, kata Sky Sports.

“Kami adalah Manchester United, kami perlu memenangi perlawanan sebegini. Pada Ahad kami akan mengharungi perlawanan besar menentang Manchester City. Kami perlu menumpukan semula perhatian pada perlawanan tersebut.”

Cabaran Leicester untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan terjejas disebabkan oleh kecederaan menimpa pemain utama, dengan Chelsea, Liverpool dan Everton kesemuanya mampu merapati pasukan The Foxes – yang tidak memenangi tiga perlawanan terakhir – apabila mereka kembali beraksi hari ini. – AFP

Reaksi Bruno Fernandes yang kecewa selepas gagal membantu pasukan memungut mata penuh ketika menentang Crystal Palace, kelmarin. – AP