United teruskan kemantapan

LONDON, 10 Feb – Pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mencabar skuadnya untuk memenangi perlumbaan bagi merebut kedudukan kelompok empat teratas selepas aksi menarik Anthony Martial memberikan suntikan kemenangan dengan jaringan 3-0 ke atas pasukan bergelut, Fulham semalam.

United berada di hadapan menerusi jaringan klinikal Paul Pogba pada awal separuh masa pertama di Craven Cottage.

Martial mencuri tumpuan ketika pemain sayap kiri itu bergerak secara solo mengelecek bola melepaskan beberapa pemain Fulham sebelum meledak bola menewaskan penjaga gawang Sergio Rico, sekali gus menggandakan jaringan buat United.

Pogba kemudian meledak gol ketiga United pada separuh masa kedua menerusi tendangan penalti ketika pasukan itu melonjak ke tangga keempat, satu mata di atas Chelsea, yang akan berdepan City awal pagi esok.

United meneruskan perjuangan mereka dalam memburu kelompok empat teratas liga selepas ketinggalan 11 mata di belakang pada hari Jose Mourinho dipecat Disember lalu.

Martial (tengah) mengelecek bola semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester united menentang Fulham di Stadium Craven Cottage, London. – AFP

“Empat teratas adalah satu perkara yang besar. Masih banyak perlawanan yang bakal dihadapi, namun kami berharap untuk bertahan dalam kelompok tersebut. Kami tidak akan bimbang tentang apa yang dilakukan oleh pasukan lain,” kata Solskjaer.

United telah memenangi 10 daripada 11 perlawanan dalam semua pertandingan sejak Solskjaer menggantikan Mourinho sebagai bos sementara United.

Solskjaer berkata: “Bukan saya yang membuat kebangkitan di kelab ini, ia adalah kerjasama semua pihak.

“Kami telah melakukannya dengan baik dalam 11 perlawanan, tetapi ia tidak pernah mengenai seorang.”

United tetap tidak terkalahkan di bawah bekas penyerang mereka Solskjaer, yang telah mengangkat kesuraman dari rejim Mourinho dan meletakkan dirinya sebagai pilihan utama untuk mengambil jawatan pengurus secara tetap. Avram Glazer, sebahagian daripada keluarga yang memiliki United, mengawasi dari tempat duduk penonton, meningkatkan desas desus jawatan kekal buat Solskjaer.

“Saya bercakap dengannya selepas perlawanan, mereka gembira kerana kami memenangi perlawanan,” kata Solskjaer. – AFP