United tidak putus asa kejar City

LONDON, 22 FEB – Ole Gunnar Solskjaer tidak akan berputus asa, mendesak Manchester United untuk terus mencabar Manchester City dalam perebutan kejuaraan, walaupun prestasi luar biasa pasukan pendahulu liga.

City mempunyai kelebihan 10 mata di hadapan pasukan musuh selepas mencatat kemenangan berturut-turut 28 perlawanan dalam semua kejohanan.

Prestasi tidak konsisten United turut menyumbang kepada jurang mata yang lebih besar, tetapi Red Devil membenam Newcastle 3-1 kelmarin untuk merekodkan hanya kemenangan kedua dalam enam perlawanan.

“Kami perlu terus mengejar,” kata Solskjaer. “Setiap perlawanan kami mengutip tiga mata, kami telah melakukan tugas kami dan itu yang perlu kami lakukan dan melihat apa keputusan pasukan lain.”

Bruno Fernandes dan Marcus Rashford sekali lagi meledak gol pada perlawanan kelibat mereka ditagih oleh United dalam persembahan yang kurang meyakinkan. Solskjaer membuat lima pertukaran dalam pasukan pada pertengahan minggu membenam Real Sociedad 4-0 di Liga Europa dan bernasib baik tidak dihukum kerana permulaan perlahan dari pasukan tuan rumah.

“Kami terpaksa mencari jalan pada separuh masa kedua. Separuh masa pertama tidak memenuhi standard yang kami mahukan,” tambah Solskjaer.

Newcastle mencatatkan dua kemenangan dalam 14 perlawanan dan hanya tiga mata di atas zon penyingkiran, tetapi Steve Bruce kekal yakin pasukannya akan terselamat.

“Fulham melalui minggu yang bagus dan memenangi beberapa perlawanan, berada di kedudukan paling bawah liga adalah penting, tetapi ada beberapa buah pasukan yang berada dalam kedudukan sama seperti Brigthon, Burnley, dan mungkin Crystal Palace turut sedang berhati-hati,” kata Bruce. – AFP

Reaksi Bruno Fernandes meraikan gol bersama rakan sepasukan selepas membantu United meraih kemenangan ke atas Newcastle United, kelmarin. – AP