United, West Ham mara, tiga pemain disahkan positif

LONDON, 23 SEPT – Manchester United mara ke pusingan keempat Piala Liga dengan kemenangan 3-0 di Luton, manakala bos West Ham David Moyes dan dua pemainnya dijangkiti COVID-19 sebelum kemenangan 5-1 ke atas Hull.

Kali pertama bertemu kelab Liga Kejuaraan, Luton sejak 1992, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer melakukan 10 pertukaran termasuk memberi peluang kepada penjaga gol, Dean Henderson dan Donny Van De Beek melakukan penampilan kali pertama.

United di depan minit ke-44 selepas dihadiahkan sepakan penalti dan ia disempurnakan oleh Juan Mata.

Marcus Rashford masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol minit ke-88 sebelum Mason Greenwood menyumbang gol ketiga pada masa kecederaan.

“Melangkah ke pusingan seterusnya adalah amat bagus. Banyak perkara positif dipamerkan oleh setiap pemain.

Aksi Rashford ketika menjaringkan gol kedua buat pasukannya semasa menentang Luton Town di Kenilworth Road, Luton, kelmarin. – AP

“Penjaga gol melakukan tugasnya dengan baik dan kami berjaya menjaringkan gol di hujung perlawanan,” kata Solskjaer.

Sementara itu, dalam perlawanan West Ham menentang Hull, Moyes, Josh Cullen dan Issa Diop terpaksa meninggalkan Stadium London selepas mengetahui keputusan ujian COVID-19 sebelum sepak mula dan akan menjalani pengasingan.

Pertemuan Tottenham di Leyton Orient pula terpaksa ditunda selepas kelab divisyen empat itu turut dijangkiti virus berkenaan.

Bagaimanapun perlawanan West Ham diteruskan dengan penolong pengurus Alan Irvine mengambil alih tempat Moyes.

“Pada jam 6:20 petang kami mendapat maklumat daripada doktor dan ketua fisio yang mengatakan tiga positif, pengendali dan dua pemain.

“Kami amat terkejut dengan berita itu. Kami menjalani banyak ujian sebelum ini dan tiada keputusan positif.

“Kami amat mengambil berat tentang protokol sejak awal lagi,” kata Irvine.

Sebastien Haller dan Andriy Yarmolenko masing-masing meledak dua gol untuk West Ham selepas Robert Snodgrass membuka jaringan. – AFP