Universal Music disenarai di bursa saham

PARIS, 21 SEPT – Saham Universal Music (UMG), memaparkan barisan produk termasuk The Beatles dan Taylor Swift, meningkat dalam penyenaraian syarikat di pasaran saham hari ini, sekali gus merangsang keyakinan dalam salah satu IPO terbesar sejak beberapa tahun ini.

Syarikat gergasi muzik itu diapungkan oleh pemiliknya, syarikat gergasi media Perancis Vivendi, dengan saham melonjak daripada harga penyenaraian 18.50 euro kepada lebih 25 euro di indeks Euronext Amsterdam.

Firma label terbesar dunia, dengan katalog empat juta judul, dinilai pada AS$39 bilion sehari sebelum diperkenalkan di pasaran.

Sebaliknya, saham Vivendi merosot lebih daripada 15 peratus di bursa saham Paris CAC 40 ketika syarikat media itu menjual saham majoritinya.

Vivendi dimiliki jutawan Vincent Bollore, yang telah memperkukuh kedudukannya sebagai jutawan media berpengaruh dalam beberapa tahun ini.

Walaupun Vivendi mengekalkan sebahagian daripada Universal Music, ia akan menumpu lebih pada dalam bidang televisyen, periklanan dan penerbitan.

Universal Music, seperti pesaingnya Warner dan Sony, pernah berdepan ancaman cetak rompak muzik tetapi melihat keuntungan meningkat dalam era penstriman.

Pada tahun lalu, kumpulan itu membeli seluruh katalog lagu Bob Dylan dengan harga AS$300 juta, salah satu pemerolehan terbesar dalam sejarah muzik.

Berpangkalan di Santa Monica, California, UMG telah menjadi sumber pendapatan untuk empayar media Vivendi, dengan kadar pusingan ganti berjumlah 7.4 bilion euro pada tahun lalu, menyumbang kepada 46 peratus daripada pendapatan syarikat induk. – AFP