Universal Studio China guna teknologi pengecaman wajah

BEIJING, 17 OKT – Taman hiburan Universal Studios yang sedang dibina di Beijing akan menerima pelawat tanpa tiket, disebabkan kamera akan mengimbas wajah mereka untuk memastikan sama ada mereka telah membayar untuk masuk.

Teknologi itu adalah sebahagian daripada beberapa perkhidmatan yang dimiliki oleh syarikat gergasi internet China Alibaba yang akan digunakan dalam taman Universal, umum syarikat pada sidang media di Beijing hari ini.

Di dalam taman, kamera pengecaman wajah yang dikaitkan dengan platform bayaran elektronik Alibaba Alipay akan membenarkan pelawat membuka loker simpanan, membayar makanan dan menyertai barisan ekspres untuk permainan.

Teknologi pengecaman wajah semakin popular di China, di mana ia digunakan untuk segala-galanya daripada tempat keluar pasar raya kepada pengawasan.

“Tidak adanya cara lebih baik untuk menikmati apa yang kami bina daripada menggunakan teknologi Alibaba,” kata Brian Roberts, XEO Comcast, yang memiliki Universal.

Taman Universal di Beijing, yang akan memaparkan watak daripada blokbuster Hollywood seperti Harry Potter dan Kung Fu Panda, pertama diumumkan pada 2014 selepas menerima kelulusan daripada perancang ekonomi teratas China, Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara.

Pembinaan sedang dilakukan di daerah Tongzhou ibu negara China dan taman itu dijangka membuka pintunya pada 2021.

Pelawat yang tidak mahu wajah mereka diimbas masih mempunyai cara lain untuk masuk ke taman dan membayar untuk makanan dan barangan, beritahu kakitangan Universal kepada AFP. – AFP