Universal Studio dibuka di Beijing

BEIJING, 20 SEPT – Akhirnya selepas melalui fasa persiapan dan pembinaan selama 20 tahun, Universal Beijing Resort (UBR) mula beroperasi sepenuhnya dan dibuka kepada pengunjung secara rasmi hari ini.

Dengan perasmian UBR tersebut, ia turut menandakan para pelancong kini boleh menikmati kemudahan seperti taman tema, CityWalk dan hotel persiaran Beijing Universal Studio.

Diberi jolokan sebagai mercu tanda baharu Beijing, UBR menghimpunkan pengalaman hiburan klasik taman tema universal terkenal dari seluruh dunia termasuk Harry Potter, Jurassic World dan Transformers.

Ia juga menggabungkan beberapa elemen kebudayaan China termasuk Kung Fu Panda, 12 Zodiak Cina selain menyajikan destinasi pelancongan budaya yang mengasyikkan seperti filem blokbuster khusus untuk pelancong dalam atau luar China.

Pembukaan diteruskan meskipun wabak koronavirus di tenggara China yang mendorong kerajaan memperketat kawalan perjalanan di sesetengah kawasan. Pelawat diwajibkan memakai pelitup muka dan menunjukkan kod kesihatan telefon pintar sebelum memasuki taman tema tersebut.

Universal Studios Beijing ialah taman hiburan asing pertama yang dibina di ibu negara China. Ia adalah yang kelima di seluruh dunia untuk Universal Studios dan ketiga di Asia, selepas Jepun dan Singapura. Universal Studios adalah sebahagian daripada NBCUniversal, unit Comcast Corp.

Taman itu menerima sokongan meluas dari kerajaan bandar Beijing meskipun ketegangan di antara parti pemerintah Komunis dan Washington. Bandar itu telah melanjutkan landasan kereta api bawah tanah dan menambah sebuah stesen yang dinamakan sempena taman itu. – Bernama/AP

Pengunjung memakai baju hujan dan membawa payung semasa berjalan di plaza berdekatan pintu masuk Universal Studios Beijing di Beijing, kelmarin. – AP