Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Seorang wakil dari Universiti Birmingham telah berkongsi maklumat mengenai melanjutkan pengajian ke universiti berkenaan dengan pelajar-pelajar dan ibu bapa mereka semasa sesi pembentangan percuma yang diadakan oleh agensi perkhidmatan pendidikan Findlay, hari ini.
Sesi perkongsian yang disampaikan oleh Pegawai Antarabangsa bagi Asia Tenggara, Alexa Haslam, di pejabat Findlay, Gadong tersebut dibukakan untuk bakal pelajar dan ibu bapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pengajian di universiti itu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Findlay, Universiti Birmingham merupakan ahli Kumpulan Russell yang berprestij dan menduduki tempat ke-90 dalam Ranking Dunia QS 2022.
Reputasi globalnya adalah wajar kerana universiti berkenaan bukan sahaja mengalu-alukan 10,000 orang pelajar dari 150 buah negara setiap tahun, malah merupakan yang pertama daripada Kumpulan Russell yang menubuhkan sebuah kampus di Dubai.
Semasa perkongsian tersebut para ibu bapa dan pelajar juga mendengar mengenai laporan kebolehpasaran siswazah terkemuka seperti laporan High Fliers dalam Pasaran Siswazah pada 2021 dan 2022 yang menunjukkan graduan Birmingham adalah antara yang paling dicari oleh majikan terkemuka.
Universiti berkenaan terletak di kampus seluas 260 ekar yang indah dan tenang di pinggir bandar Birmingham. Ia adalah satu-satunya universiti di United Kingdom yang mempunyai stesen kereta api sendiri, di mana perjalanan selama 8 minit membawa pelajar ke tengah-tengah bandar Birmingham.
Ibu bapa dan bakal pelajar yang berminat juga dialu-alukan untuk menghubungi Findlay bagi membuat pengaturan alternatif untuk bertemu Alexa Haslam.
