Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Sebagai sebahagian daripada menumpukan sumbernya kepada menyokong keluarga-keluarga di bawah jagaan SMARTER bagi tahun 2025, Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) telah mengadakan majlis tahlil dan berbuka puasa untuk 51 buah keluarga bersama Lembaga Pengarah UNN, pengurusan kanan dan kakitangan UNN yang berlangsung di Grand Hall, Hotel Mulia, baru-baru ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid yang juga Pengerusi UNN; Pengarah-pengarah UNN, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim dan Hajah Amalina binti Haji Ghani; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif UNN, Christopher Phan; serta ahli-ahli pengurusan UNN yang lain.
Menurut kenyataan daripada UNN, majlis tahlil dan berbuka puasa itu merupakan sebahagian daripada program kebajikan tahunan UNN yang berusaha untuk menyediakan bantuan barangan dan kewangan kepada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan serta menjadi sebuah platform bagi kakitangan UNN untuk menghulurkan kebajikan dan bantuan, mempromosikan kesukarelawanan serta meningkatkan kesejahteraan menerusi penglibatan sosio-ekonomi berkenaan.
Pada tahun ini, kegiatan kebajikan itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme dan komunitinya dan pada masa yang sana mempromosikan keterangkuman sosial dan menawarkan sokongan kepada individu dan keluarga yang terkesan oleh autisme dalam kalangan kakitangan dan orang ramai.