UNN berusaha jangkau kawasan terpencil

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Unified National Networks (UNN) sebagai penyedia tunggal rangkaian di negara ini, sedang berusaha menaik taraf dan memastikan semua kawasan di negara ini dapat menikmati rangkaian termasuklah di kawasan luar bandar.

UNN telah mengenal pasti sebanyak 42 kawasan di seluruh daerah untuk dihubungkan.

“Jika dilihat, kawasan-kawasan ini terletak di kawasan yang terpencil dan cukup jauh untuk dicapai sehinggakan ada yang tidak mempunyai akses jalan raya ke kawasan tersebut selain daripada infrastruktur yang terhad termasuklah jana kuasa elektrik,” ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei

Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.
Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa UNN bekerja dengan sebaik mungkin bagi menghubungkan kawasan-kawasan tersebut namun sudah semestinya ia akan memakan sedikit waktu disebabkan perjalanan yang jauh dan sebagainya.

Oleh itu, pihak UNN akan mengendalikan perkhidmatannya secara berperingkat-peringkat dan berterusan satu demi satu sama ada bagi pemasangan infrastruktur dan yang bersangkutan dengannya.

Menurut beliau, beberapa keluhan yang diterima daripada pelajar terhadap kualiti perkhidmatan rangkaian yang digunakan di kawasan mereka pada ketika ini juga telah berjaya diatasi dan telah mendapatkan kualiti perkhidmatan yang lebih baik.