UNN kembang projek baharu infrastruktur RAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab Unified National Network (UNN) untuk memodenkan infrastruktur telekomunikasi yang ada di negara ini, UNN akan memulakan pengembangan projek baharu Rangkaian Akses Radio (RAN) mudah alih yang bermula bulan ini selama 30 bulan.

Menurut kenyataan dari UNN, hari ini, Projek RAN ​​merangkumi penggabungan infrastruktur menara yang sebelumnya dikendalikan oleh DST dan Progresif serta pemasangan kepada kira-kira 120 tapak baharu untuk meningkatkan liputan di kawasan luar bandar dan kapasiti di kawasan berpenduduk padat.

Projek tersebut akan memodenkan peralatan di lokasi bersama amalan operasi moden. Oleh kerana permintaan yang semakin meningkat dalam data mudah alih di seluruh negara, spektrum radio tambahan akan ditingkatkan (terutama untuk 4G) bagi meningkatkan kapasiti rangkaian dan pengalaman pelanggan.

Projek itu juga membolehkan UNN meningkatkan liputan stesen pangkalan rangkaian yang ada dalam masa terdekat dengan menambah pembawa frekuensi rendah (700 dan 900 MHz).

Dengan pertambahan itu, ia akan memberi kesan positif terhadap liputan di lokasi terpencil, kawasan bangunan-bangunan dan akan dipasang di semua daerah.

Logo UNN dilihat di stesen pangkalan di Berakas. – Gambar serahan UNN

Disebabkan projek tersebut melibatkan perubahan perkakasan dan perisian di setiap stesen pangkalan, ada ketikanya perkhidmatan di stesen pangkalan masing-masing akan dimatikan sementara waktu.

Ia biasanya berlaku hanya pada sebuah stesen pangkalan di kawasan tersebut, bagaimanapun perkhidmatan untuk sebahagian besar pelanggan di kawasan liputan stesen pangkalan itu akan diambil alih oleh stesen pangkalan berdekatan yang tertakluk kepada semua pengguna mudah alih di lokasi masing-masing seperti DST, imagine dan
Progresif.

Gangguan tersebut dijangka akan mengambil masa kira-kira 10 minit dan maksimum dua jam.

UNN, bersama rakan-rakannya – DST, imagine dan Progresif akan bekerjasama rapat untuk memaklumkan kepada semua pengguna di kawasan-kawasan yang terjejas sepanjang projek ini menerusi saluran yang disahkan termasuk media sosial dan laman web UNN.

Untuk pertanyaan lebih lanjut mengenai projek ini, orang ramai boleh menghubungi talian perkhidmatan pelanggan penyedia perkhidmatan masing-masing di 111 untuk imagine, 151 untuk DST dan 177 untuk Progresif.