UNN perjelas isu tunggakan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Permintaan bagi Fibre to the Home (FTTH) telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan dengan penularan pandemik, ia telah mempercepatkan lagi keperluan bagi pemasangan FTTH.

Sejak mula beroperasi dua tahun lalu, Unified National Networks (UNN) telah menghubungkan kira-kira 36,000 orang pelanggan baharu dengan 20,000 kediaman lagi dijangka akan terhubung pada 2021 hingga 2024.

Sejak itu, UNN telah dan akan meneruskan usahanya untuk memodenkan infrastruktur telekomunikasi Brunei, sebelum langkah-langkah pengawalan diperketatkan. Dengan penularan COVID-19 di negara ini sejak 7 Ogos lalu, ia adalah amat mencabar bagi industri telekomunikasi negara dengan jumlah permohonan perkhidmatan FTTH baharu meningkat dua kali ganda selepas para pelanggan memerlukan jalur lebar untuk melakukan kerja dari rumah (WFH).

Infrastruktur telekomunikasi dan perkhidmatan adalah ditafsirkan sebagai keperluan oleh Kementerian Kesihatan di mana ia amat diperlukan dalam masa yang mencabar ini.

Dalam hubungan itu, industri telekomunikasi telah mengaktifkan pelan kelangsungan perniagaan (BCP) dan memandatkan bahawa semua kakitangan yang bekerja dalam persekitaran pejabat untuk berkerja secara WFH sehingga dimaklumkan kemudian sejak 9 Ogos lalu.

Dengan penularan gelombang kedua COVID-19 di dalam negara, UNN telah mengurangkan kapasiti tenaga manusianya seperti yang ditetapkan dengan pelaksanaan BCP, penyesuaian operasi, penyelenggaraan dan perkhidmatan pemasangan serta memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi kakitangan luarnya serta kontraktor yang telibat mengenai peranan dan tanggungjawab dalam realiti baharu ini iaitu mengulang kaji semula garis masa, bajet dan jadual bagi mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan serta untuk melindungi kesihatan semua kakitangan, kontraktor yang terlibat serta pelanggan-pelanggan yang dilawati.

Di samping itu, perintah kuarantin bagi kakitangan dalam UNN dan di kalangan syarikat-syarikat kontraktor yang membantu UNN, kapasiti tenaga manusia bagi kerja-kerja luar telah berkurangan secara signifikan sejak langkah-langkah kawalan dilaksanakan.

Semasa ia sedang pulih, UNN masih berhadapan jumlah jangkitan yang signifikan dan perintah-perintah kuarantin daripada pengesanan kontak yang dikendalikan sejak penularan.
Oleh itu, pihak industri sedang menempatkan sumber-sumbernya secara berhati-hati, termasuk kakitangan dan peralatannya supaya dapat memberikan perkhidmatan bagi keperluan Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi lain yang terlibat dalam menangani COVID-19 serta pada masa yang sama, melayani permintaan daripada kediaman dan perniagaan Brunei.

Keadaan seperti ini bersama dengan permintaan yang meningkat telah membawa kepada kelambatan dalam perkhidmatan pemasangan dalam tiga minggu kebelakangan ini di mana kapasiti bagi perkhidmatan pemasangan baharu tidak sepadan dengan jumlah permintaan perkhidmatan baharu. Pihak industri kini menumpukan kepada mengurangkan jurang dan menyediakan perkhidmatan baharu secepat mungkin di bawah syarat disahkan dengan memperkenalkan semula kakitangan dan kontraktor mereka kepada jadual-jadual pemasangan selepas menamatkan perintah kuarantin dan dengan memperoleh kapasiti tambahan yang terdapat di dalam negara.

Para pelanggan yang memohon bagi perkhidmatan jalur lebar baharu adalah diminta untuk berhubung dengan penyedia perkhidmatan masing-masing bagi perkembangan terkini dan maklumat baharu yang berkaitan dengan perkhidmatan yang dipohonkan.

Sementara itu, pelanggan yang mempunyai janji temu diperlukan untuk menjadualkan semula pemasangan mereka jika terdapat individu dalam kediaman mereka yang dikeluarkan Perintah Kuarantin atau pengasingan diri kerana pasukan petugas UNN adalah tidak dibenarkan untuk memasuki kediaman mereka semasa keadaan sedemikian.