Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    UNN terima pengiktirafan global

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) mencatatkan satu lagi mercu tanda apabila menerima Anugerah Global Business Outlook (GBO) 2022 bagi Penyedia Perkhidmatan Infrastruktur Telekom Terbaik di Brunei Darusssalam semasa Majlis Anugerah GBO Tahunan ke-8 baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, di sini, UNN turut dicalonkan bagi Inisiatif Transformasi Digital Terbaik 2020.

    GBO merupakan sebuah penerbitan yang berpangkalan di United Kingdom (UK) sebagai pembekal maklumat utama untuk pemimpin industri utama bagi acara-acara penting dalam dunia perniagaan serta menjejak trend pasaran signifikan dan strategi perniagaan yang berjaya di seluruh dunia.

    Anugerah GBO mengiktiraf dan menghargai pencapaian luar biasa syarikat-syarikat serta kecemerlangan mereka dari segi kreativiti, inovasi dan sumbangan kepada penjagaan nilai domestik dan global.

    Sejak penubuhannya pada 2018, UNN secara konsisten menyediakan sebuah ekosistem inklusif bagi semua orang mengakses perkhidmatan dan rangkaian yang berdaya tahan dan berkualiti tinggi.

    Gambar ramai pasukan pengurusan kanan UNN termasuk Dr Steffen Oehler bersama Anugerah GBO dan sijil. – Gambar serahan UNN

    Pemodenan dan perkembangan infrastruktur rangkaian yang dilaksanakan sejak penubuhannya telah menyaksikan UNN, sehingga kini, berjaya menyediakan jalur lebar kepada 92 peratus kediaman di Brunei serta perkhidmatan mudah alih seluruh negara
    berjaya diubah menjadi sedia 5G yang meliputi hampir 90 peratus daripada populasi negara.

    Usaha pemodenan dan perkembangan untuk infrastruktur rangkaian tetap dan mudah alih bukan sahaja telah meningkatkan pengalaman digital tetapi juga menyokong usaha negara untuk mempercepatkan penerimaan sebuah negara digital dan lebih pintar semasa pandemik.

    Semua itu telah disahkan oleh Laporan Global Median Speed Ookla di mana Brunei pada masa ini berada di kedu-dukan pertama dalam sambungan internet mudah alih ASEAN, nombor 10 dalam sambungan internet mudah alih global dan nombor 85 dalam global broadband median speed.

    UNN menyatakan, inisiatif-inisiatif terbaharu termasuk peningkatan kelajuan garis dasar (baseline) jalur lebar tetap kepada 50Mbps dan pelancaran 1Gbps Proof of Concept (POC) telah dilaksanakan untuk memperbaiki lagi rangking global dan kesalinghubungan digital sambil menyumbang kepada transformasi Brunei menjadi sebuah masyarakat gigabit selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 dan Ekonomi Digital 2025.

    Ketua Pegawai Eksekutif UNN, Dr Steffen Oehler berkata, anugerah tersebut mengiktiraf usaha syarikat dan warganya untuk terus menyediakan kesalinghubungan digital berkualiti tinggi menerusi penambahbaikan dan pemodenan berterusan infrastruktur rangkaian telekom.

    “Pengiktirafan seumpama itu mendorong kami untuk meneruskan perjalanan transformasi dengan menumpukan kepada pengalaman pelanggan, kemampanan perniagaan dan pembangunan organisasi dan kakitangan hari ini dan di masa akan datang,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...