UNRWA perlukan bantuan kewangan

BAITULMAQDIS, 10 Julai – Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA) memberi amaran bahawa pemotongan program utama di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki telah dirancang dalam beberapa minggu akan datang sekiranya pembekuan dana yang dibiayai Amerika Syarikat (AS) tidak dapat diselesaikan.

Angkanya masih belum diperoleh berhubung pengurangan yang sedang dirancang sekiranya jurang besar dalam pembiayaan tidak diselesaikan, namun sepucuk surat yang dihantar kepada kakitangan agensi pada hujung minggu dan diperoleh AFP semalam menunjukkan bidang yang menjadi sasaran.

Sumber rapat berhubung rancangan itu menjelaskan bidang yang akan terjejas dalam butiran seterusnya, yang antara lain melibatkan program pekerjaan, bantuan perumahan dan bantuan kesihatan mental.

Kebanyakan pemotongan dijangkakan berlaku di Tebing Barat. Sesetengah program turut dijangka kehabisan dana kewangan menjelang hujung bulan ini, menurut sumber itu.

Surat itu mengatakan agensi yang dikenali sebagai UNRWA, akan berusaha untuk mengekalkan program penting bantuan makanan, terutamanya bagi Semenanjung Gaza yang miskin.

Gambar diambil pada 4 Julai yang lalu menunjukkan para kakitangan UNRWA menyertai bantahan di hadapan pejabat agensi berkenaan di Bandar Gaza berhubung penggantungan kontrak yang bermula bulan depan. Agensi itu telah berdepan kekurangan dana berikutan pembekuan kewangan yang dikenakan AS. – AFP

Sumber itu turut mengatakan mereka berdepan pemotongan dalam beberapa bulan akan datang sekiranya pembiayaan tambahan tidak ditemukan.

Ketua UNRWA Pierre Krahenbuhl berkata dalam sepucuk surat kepada kakitangan bahawa dia telah meminta kepada para pembiaya untuk terus membantu agar agensi itu boleh ‘mengatasi kekurangan yang lain,” yang setakat ini berjumlah AS$217 juta.

“Saya memberitahu mereka dengan jujur: “Kekurangan sebanyak AS$217 juta masih jauh lebih tinggi berbanding yang pernah dihadapi UNRWA dalam sejarahnya,” menurut surat itu.

“Selaku Pesuruhjaya Agung agensi ini, saya tidak boleh menyembunyikan risiko dramatik yang dihadapi oleh perkhidmatan kami sekiranya kami tidak menerima pembiayaan tambahan dengan segera.” – AFP