UNSC beri pengecualian projek penggalian

SEOUL, 28 Jan – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) telah memberikan pengecualian sekatan bagi projek penggalian saki-baki bahan letupan seperti periuk api semasa Perang Korea di Zon Bebas Tentera antara Korea, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan sumber diplomatik hari ini.

UNSC membuat keputusan itu minggu lepas semasa Seoul meminta pengecualian tersebut bagi memastikan penghantaran peralatan ke negara komunis terbabit tidak akan terjejas ekoran sekatan anti-Pyongyang.

Kedua-dua negara Korea merancang melaksanakan projek di Arrowhead Ridge, sebuah lokasi pertempuran terkenal semasa konflik Perang Dingin 1950-1953, dari April hingga Oktober di bawah persetujuan ketenteraan dua hala tahun lepas yang bertujuan mengurangkan ketegangan, mengekang pertempuran tidak sengaja dan membina kepercayaan.

Semasa rundingan peringkat umum antara Korea tahun lepas, Pyongyang telah meminta Seoul membekalkan peralatan bagi penggalian periuk api di bahagian Korea Utara di kawasan berkaitan dalam projek itu, kata sumber lain. Sebagai respons, kementerian pertahanan Seoul telah berunding dengan kementerian luar mengenai sama ada pembekalan peralatan itu akan melanggar rejim sekatan PBB.

Kementerian itu dilaporkan mempertimbang pembelian mesin pembersihan periuk api dari negara luar seperti GCS-100 buatan Switzerland, Minewolf (Jerman) dan MV-4 (Croatia), serta membekalkan satu daripadanya kepada Korea Utara dalam bentuk sewaan. – Bernama