DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU, 10 DIS – Pihak berkuasa Saudi telah melancarkan tindakan keras terbesar ke atas peserta pertandingan unta cantik yang menerima suntikan Botox dan peningkatan kosmetik lain, lapor Agensi Akhbar Saudi semalam, dengan lebih 40 unta disingkirkan daripada pertandingan tahunan tersebut.
Festival Unta Raja Abdulaziz yang popular di Arab Saudi, dilancarkan pada awal bulan ini, menjemput pembiak baka unta paling cantik untuk bertanding yang menawarkan hadiah wang berjumlah AS$66 juta.
Suntikan Botox, wajah baharu dan pembedahan kosmetik lain untuk menjadikan unta lebih cantik adalah diharamkan. Para juri memutuskan pemenang berdasarkan bentuk kepala unta, leher, ponok, pakaian dan penampilan.
Tahun ini, pihak berkuasa menemui puluhan pembiak telah mengubah bentuk bibir dan hidung unta, menggunakan hormon untuk menguatkan otot haiwan berkenaan, menyuntik kepala dan bibir unta dengan Botox untuk menjadikannya lebih besar dan menggunakan ‘filler’ untuk menegangkan wajah mereka. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/12/P13-Gambar-WEB-tuk-Dos_11122021.jpg)