Untung bersih Aramco susut 12%

RIYADH, 12 OGOS – Aramco, syarikat tenaga utama milik kerajaan Saudi melaporkan keuntungan bersih setengah tahun pertama bagi 2019 susut hampir 12 peratus kepada AS$46.9 bilion, pendedahan pertama seumpamanya bagi syarikat berahsia menjelang telesidang keputusan kewangan sulungnya.

Kejatuhan dalam hasil pendapatan itu – disebabkan harga minyak rendah – dilaporkan di tengah-tengah spekulasi baharu syarikat itu bersedia untuk penyenaraian saham luar negara yang lama tertangguh, digelar berpotensi terbesar di dunia.

Berita itu berbetulan dengan pengumuman daripada Reliance India yang menjual 20 peratus sahamnya dalam perniagaan minyak dan kimia – bernilai AS$15 bilion – kepada Aramco, satu perjanjian yang berpotensi merangsang penilaian syarikat gergasi Saudi menjelang IPO.

Melaporkan perolehannya itu, Aramco berkata dalam satu kenyataan: “Keuntungan bersih syarikat itu sebanyak AS$46.9 bilion bagi separuh pertama tahun 2019, berbanding AS$53 bilion pada tempoh sama tahun lalu.”

Ia adalah pertama kali syarikat itu telah menyiarkan keputusan kewangan separuh pertama dan muncul selepas Aramco membuka akaun rahsianya buat pertama kali pada April ketika ia bersedia untuk meningkatkan dana daripada para pelabur.

Syarikat itu merancang untuk mengadakan telesidang pendapatannya buat pertama kali hari ini, memberi para pelabur peluang untuk membincangkan keputusan bersama pengurusan Aramco dalam satu langkah lain ke arah transparensi lebih luas.

“Meskipun harga minyak rendah semasa separuh pertama tahun 2019, kami akan terus memberikan pendapatan kukuh dan aliran tunai bebas kukuh yang disokong oleh prestasi operasi konsisten, kos pengurusan dan disiplin fiskal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Aramco, Amin Nasser dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu.

Analisis berkata rekod permintaan bagi bond antarabangsa sulung bernilai AS$12 bilion yang dilancarkan tahun ini telah mendorong pengeksport minyak teratas dunia itu mempercepatkan usaha untuk mengapungkan syarikat itu. – AFP

Gambar fail 23 Jun 2008 menunjukkan seorang pekerja Asia melindungi wajahnya daripada debu dan terik matahari di tapak syarikat minyak Aramco Saudi di gurun Arab Saudi, 160km timur bandar Riyadh. – AFP