KUALA LUMPUR, 10 Feb – Keuntungan sebelum cukai Westports Holdings Bhd meningkat kepada RM754.82 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2016 (FY16) berbanding RM650.14 juta yang direkodkan pada FY15.
Hasil melonjak kepada RM2.04 bilion berbanding RM1.68 bilion sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengendali pelabuhan itu berkata Westports berjaya mengendalikan 9.95 juta unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) pada 2016, atau 10 peratus lebih tinggi berbanding 9.05 juta TEU pada 2015.
Westports berkata hasil operasi meningkat 14 peratus kepada RM1.8 bilion apabila operasi kontena dan konvensional menyumbang kepada prestasi kewangan kumpulan yang lebih baik.
Dalam tahun semasa, syarikat itu menyumbang 76 peratus daripada kontena yang dikendalikan di Pelaburah Klang.
Dalam suku keempat FY16, syarikat itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi, sebanyak RM174.18 juta berbanding RM166.16 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas, hasil daripada perolehan yang lebih kukuh sebanyak RM573.26 juta berbanding RM477.01 juta sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ruben Emir Gnanalingam, berkata penyusunan semula industri perkapalan kontena tahun ini akan menyumbang kepada pakatan yang lebih besar.
“Kami yakin kapasiti pengendalian terminal tambahan kami akan dapat memenuhi keperluan apabila kapal mereka singgah di Westports,” katanya. – Bernama