Tuesday, October 15, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Untungnya menjadi golongan ‘sedikit’

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Tazkirah pada Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di sini, minggu ini telah mengetengahkan tajuk ‘Beruntunglah Golongan yang Sedikit’ yang menyentuh mengenai ‘Sedikit’.

    Pemangku Penolong Pengarah (Institut Pengajian) Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Shamsul bin Haji Omar dalam tazkirahnya berkata, apabila bercakap mengenai kalimah sedikit, lazimnya persepsi lebih tergambar sesuatu yang kurang, ataupun lemah atau kurang baik.

    “Apatah lagi manusia dari segi nalurinya memang suka kepada sesuatu yang banyak dan perlu ditambah, bahkan sifat manusia itu tidak pernah puas,” jelasnya.

    Namun golongan yang sedikit ini dalam Al-Quran adalah golongan orang-orang soleh yang diredai Allah S.W.T.

    “Siapa golongan sedikit yang disebutkan dalam Al-Quran? Disebutkan dalam Kitab Tafsir Al-Qurtubi, salah sebuah kitab tafsir yang muktabar yang telah dikarang oleh Imam Al-Qurtubi, ada diriwayatkan berkaitan dengan peristiwa yang dilalui oleh Sayidina Umar ibnu al Khattab R.A, yang bermaksud, orang-orang yang beriman dan soleh adalah ‘sedikit’ sahaja golongannya dari orang-orang soleh berkenaan,” ujarnya.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti turut serta mendengarkan tazkirah tersebut.
    Haji Shamsul ketika menyampaikan tazkirahnya.

    Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohammad Yussof; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud serta datin; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin OKML Haji Mohd Yusof dan Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

    Program berkenaan memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara Bandarku Ceria, memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.

    Dikelolakan oleh KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam dengan kerjasama Masjid Omar ’Ali Saifuddien, kempen berkenaan merupakan program mingguan dan ajakkan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.

    Turut sama menyerikan program berkenaan adalah Jabatan Hal Ehwal Syariah, Bahagian Pendakwaan Syar’ie dan Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Kehadiran jemaah memakmurkan rumah Allah diharapkan akan dapat menghidupkan amalan sunnah Baginda Rasulullah S.A.W dan dapat menimbulkan rasa persamaan antara umat Islam dalam melaksanakan sembahyang berjemaah dan amal ibadat bersama-sama.

    Makmurnya masjid-masjid di negara ini, adalah antara landasan orang-orang Islam bagi menggandakan amal kebajikan dan meraih keberkatan dari Allah S.W.T bagi diri, keluarga dan juga Negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda