Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    UOBAM Brunei menangi dua anugerah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – UOB Asset Management (B) Sdn Bhd (UOBAM Brunei) telah memenangi Anugerah Best Institutional House (Brunei) dan Best Investor Education (Brunei) bagi Asia Asset Management 2022 Best of the Best Awards dalam majlis penganugerahan yang berlangsung secara maya pada 9 Jun lalu dengan dihadiri oleh firma-firma pengurusan aset dari serata Asia.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UOBAM Brunei, di sini, hari ini, firma berkenaan telah memenangi Anugerah Best Investor Education (Brunei) pada 2020 dan 2019.

    UOBAM Brunei menerima Anugerah Best Institutional House (Brunei) buat kali pertama di mana firma berkenaan diiktiraf bagi usahanya dalam membantu klien-klien institusi memenuhi keutamaan pelaburan mereka seperti pelaburan alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) dan menawarkan latihan bespoke termasuk lawatan ke pejabat-pejabat dalam rangkaian UOBAM serta mengembangkan ilmu pengetahuan mereka mengenai pelbagai aspek pengurusan dana.

    Firma itu juga memanfaatkan rangkaian pakar di sembilan rantau di Asia seperti pakar ESG dan pakar pelbagai aset, untuk menawarkan peluang-peluang pelaburan yang tepat dan bertepatan kepada klien-klien mereka.

    Sementara itu, jelas kenyataan berkenaan, Anugerah Best Investor Education (Brunei) mengiktiraf usaha UOBAM Brunei dalam menyampaikan program-program pendidikan pelabur kepada pelabur-pelabur dan orang ramai.

    Firma itu telah mengenal pasti pelaburan mampan sebagai topik utama bagi tahun ini dan untuk membantu pelabur-pelabur daripada perangkap greenwashing.

    Ia juga secara aktif mendekati pelabur-pelabur untuk menjemput mereka bagi menyertai sesi prospek pelaburan firma berkenaan dan latihan kelas aset khusus.

    UOBAM Brunei juga menyediakan peluang kepada klien institusinya dan rakan-rakan kongsi untuk meningkatkan kemahiran ilmu pengetahuan mereka dalam bidang berkenaan termasuk menyediakan tajaan bagi menggalakkan rakan-rakan kongsi mendapatkan persijilan pelaburan ESG.

    Pengurus Besar UOBAM Brunei, Kamal bin Haji Muhammad berkata, anugerah berkenan merupakan bukti komitmen mereka kepada pembangunan pasaran kewangan Brunei dan pendidikan pelabur-pelabur.

    Beliau menambah bahawa mereka akan terus berusaha untuk berada di hadapan dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi analisis ESG mereka, menggalakkan komuniti pelabur bagi meningkatkan kemahiran serta memperbaiki saluran pengedaran digital mereka.

    Pada masa yang sama, mereka juga sedang membangunkan sebuah pasukan ESG tempatan dan bekerja dengan lebih ramai rakan kongsi untuk menghasilkan produk-produk inovatif yang akan memberikan impak kepada komuniti di mana mereka beroperasi.

    Sejak 2021, UOBAM Brunei telah bekerjasama dengan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Brunei Darussalam (UBDSBE) untuk mendidik orang ramai mengenai pentingnya pelaburan mampan.

    Sebuah laman mikro telah dibangunkan dan dihoskan di laman sesawang UBDSBE sebagai sebuah sumber bagi pelaburan mampan untuk pelajar dan orang ramai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...