UOBAM Brunei tingkat kesedaran kemapanan dalam pelaburan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – UOB Asset Management (UOBAM) Brunei hari ini telah memulakan siri pertama webinar berkaitan kemapanan mengenai kepentingan dan kesan menggabungkan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam pelaburan.

Dianjurkan dengan kerjasama  Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Brunei Darussalam (UBDSBE), webinar memfokuskan pada meningkatkan kesedaran tentang cara pelabur boleh mengambil tindakan melalui tindakan dan pelaburan mereka.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global), Dr Joyce Teo Siew Yean.

Webinar turut disaksikan oleh lebih 180 pelajar UBD, ahli fakulti selain orang awam.
Webinar bertajuk Sustainability – the Key to Global Investing itu telah dikendalikan oleh Timbalan Dekan (Akademik) di UBDSBE, Dr Mohd Hairul Azrin bin Haji Besar.

Menurut kenyataan UOBAM, ini adalah siri webinar pertama UBD yang didedikasikan kepada ESG dan pelaburan mampan.

Dr Joyce Teo bersama antara peserta webinar berkenaan. – Gambar serahan UOBAM Brunei

Kenyataan menyatakan, menurut Institut Bank Pembangunan Asia, kesedaran ESG di Brunei masih di peringkat awal.

Ketika generasi muda mendalami tentang isu ESG global seperti perubahan iklim, UOBAM Brunei menjangkakan bahawa mereka akan membantu memacu permintaan untuk pelaburan mampan sama ada secara peribadi, melalui hubungan mereka atau ketika mereka memasuki tenaga kerja.

Ketua Pejabat Kemapanan UOBAM, Victor Wong dipetik berkata, “Dengan lebih daripada tiga dekad kepakaran pelaburan kami di Asia, UOBAM komited untuk mengemudi harta kepada pelaburan mampan yang mencipta nilai jangka panjang dan impak positif kepada pihak berkepentingan.”

Menurutnya lagi, selaras dengan dorongan global untuk mencapai sasaran kemapanan bersih-sifar, mereka telah melihat minat dan permintaan pelabur yang semakin meningkat, khususnya dalam kalangan generasi muda, dalam pelaburan mampan.

“Melalui siri webinar, kami ingin menyediakan orang ramai di Brunei dengan pemahaman lebih mendalam tentang arah aliran ESG supaya mereka dapat menavigasi landskap ESG yang kompleks dan berkembang dengan lebih baik,” tambahnya.