Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Upacara menaikkan bendera empat daerah

    Oleh Yusrin Junaidi, Ak Zaki Kasharan dan Norhamizan Haji Mosbi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38, upacara menaikkan bendera terlah diadakan di keempat-empat daerah secara serentak hari ini.

    Di Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Daerah Brunei dan Muara telah mengadakan majlis menaikkan bendera di kawasan lapang Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan seterusnya menyampaikan bendera-bendera kepada wakil-wakil akar umbi, persatuan-persatuan, pihak-pihak swasta dan badan bukan kerajaan di Dewan Teater Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

    Upacara tersebut dihadiri oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Aminuddin bin Haji Buntar selaku tetamu kehormat majlis.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dibacakan oleh ahli Majlis Perundingan Kampung Kasat dan Pemangku Ketua Kampung Kasat, Awang Amran bin Haji Maidin dan kemudian diteruskan dengan penyerahan bendera oleh tetamu kehormat kepada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi upacara menaikkan bendera dan selepas itu beredar masuk ke Dewan Teater bagi pengagihan bendera-bendera dan penyampaian sijil.

    Sementara itu di Daerah Tutong, upacara menaikkan bendera telah diadakan di kawasan Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong.

    Pemangku Pegawai Daerah Temburong menyerahkan bendera kepada penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua cawangan dan Program Belia Cinta Tanah Air.
    Pemangku Pegawai Daerah Tutong hadir semasa upacara menaikkan bendera yang disempurnakan oleh anggota PPDB.
    Awang Mohamad Yassin selaku tetamu kehormat menyerahkan bendera kepada anggota PPDB, Kuala Belait untuk dikibarkan.
    Awang Aminuddin menyerahkan bendera kepada salah seorang wakil di Daerah Brunei dan Muara.
    Upacara menaikkan bendera oleh anggota PPDB di Daerah Brunei dan Muara.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohd Amirul Hadi bin Haji Mohd Tajudin.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa oleh Imam Masjid Kampung Kupang Tutong, Awang Sahlan bin Haji Mohd Safar.

    Selepas itu, rombongan pembawa bendera negara diketuai oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat Dua, Awang Mohd Haazeq bin Arsad kemudian menyerahkan bendera negara kepada Pemangku Pegawai Daerah Tutong untuk upacara menaikkan bendera yang disempurnakan oleh anggota PPDB.

    Tetamu kehormat juga menyerahkan bendera negara kepada penghulu-penghulu mukim dan pemangku penghulu-penghulu mukim Daerah Tutong.

    Manakala di Daerah Belait, upacara menaikkan bendera pula diadakan di Taman Persiaran Cendera Kenangan, Jalan Sungai, Kuala Belait.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed.

    Majlis dimulakan dengan kehadiran tetamu kehormat dan bacaan Surah Al-Fatihah dan Bacaan Doa Selamat diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid RPN Kampung Pandan, Kuala Belait, Awang Abdul Qayyuum bin Haji Aminuddin.

    Pemangku Pegawai Daerah Belait seterusnya menyerahkan bendera kepada tetamu kehormat yang mana bendera tersebut diserahkan kepada anggota PPDB, Kuala Belait untuk dikibarkan.

    Selesai sahaja pengibaran bendera, tetamu kehormat berkenan menyerahkan bendera- bendera Negara Brunei Darussalam kepada penghulu dan pemangku-pemangku penghulu mukim di Daerah Belait ini untuk dikibarkan di mukim masing-masing selepas acara ini dijalankan.

    Tetamu kehormat juga turut menyampaikan bendera kepada wakil-wakil persatuan di daerah Belait.

    Di Daerah Temburong, upacara seumpamanya telah diadakan di kawasan Dermaga, Pekan Bangar.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim. Turut hadir ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah, Haji Mohamad Azmi bin Haji Suhaili selaku pengerusi majlis dan ketua-ketua cawangan jabatan-jabatan kerajaan Daerah Temburong, penghulu-penghulu mukim dan jemputan-jemputan Khas.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Imam Masjid Selangan, Awang Mahdini bin Kamis dan diikuti dengan majlis penyerahan bendera oleh tetamu kehormat majlis kepada anggota PPDB bagi upacara menaikkan dan diiringi oleh lagu kebangsaan dan disusuli dengan lagu Bendera Negara.

    Acara kemudiannya diteruskan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam kepada penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua cawangan dan Program Belia Cinta Tanah Air.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...