Upacara pengibaran bendera meriahkan sambutan perayaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Para penghulu dan pemangku penghulu mukim serta pemangku ketua-ketua kampung Zon 5, Daerah Brunei dan Muara tidak ketinggalan untuk memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74 dengan mengadakan upacara menaikkan dan pengibaran bendera kebangsaan di Dewan Kemasyarakatan Sengkurong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari. Turut hadir ialah penghulu, pemangku-pemangku penghulu dan pemangku-pemangku ketua kampung Zon 5 serta jemputan khas. Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Awang Zizan bin Haji Asmat.

Majlis diteruskan dengan Pemangku Penghulu Mukim Sengkurong, Dr Haji Abdullah Hanif bin Orang Kaya Dinda Haji Saman menyerahkan bendera kebangsaan kepada Yang Berhormat Haji Mohimin yang seterusnya menyerahkannya kepada petugas-petugas yang diamanahkan untuk menaikkan bendera dengan diiringi lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan.’

Yang Berhormat Haji Mohimin dan para jemputan menyanyikan lagu kebangsaan, ‘Allah Peliharakan Sultan’ bagi mengiringi upacara menaikkan bendera.
Para petugas menyempurnakan upa-cara menaikkan bendera kebangsaan semasa majlis berkenaan.