Upacara penuh tradisi

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2019 diadakan dengan penuh tradisi yang berlangsung di Bangunan Mahkamah Tinggi, Bandar Seri Begawan dengan dirasmikan oleh Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong, hari ini.

Majlis dimulakan dengan ketibaan Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid. Majlis diteruskan dengan ketibaan Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong yang menerima tabik hormat daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB).

Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong kemudian memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota PDB. Hadir pada majlis itu ialah Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, hakim-hakim mahkamah sivil dan syariah, pembesar-pembesar negara, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, duta-duta dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai-pegawai dan kakitangan dari Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, pengamal undang-undang, ahli-ahli dari agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan serta mahasiswa serta mahasiswi dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Majlis diteruskan dengan para hadirin dijemput untuk berkumpul di bilik Mahkamah Tinggi bagi mendengar ucapan yang disampaikan oleh Yang Amat Arif Dato Paduka Steven Chong. Majlis juga menyaksikan ucapan daripada Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hairol Arni dan Yang Di-Pertua Persatuan Undang-Undang, On Hung Zheng.

Upacara itu merupakan perkumpulan tahunan yang diadakan di Mahkamah Besar yang mengumpulkan semua ahli komuniti perundangan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Isa, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Salim semasa menghadiri Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2019.
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara yang hadir pada majlis tersebut.

Antara yang hadir pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2019.
On Hung Zheng ketika menyampaikan ucapannya.
Sekitar Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2019 yang berlangsung di Bangunan Mahkamah Tinggi, Bandar Seri Begawan.