Upacara penurunan bendera besar

Oleh Yusrin Junaidi, Daniel Lim & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Tempoh pengibaran bendera Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75 berakhir hari ini dengan upacara penurunan bendera besar di kawasan lapang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan upacara tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Upacara dimulakan dengan Pasukan Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) bersiap sedia bergerak masuk.

Surah Al-Fatihah dibacakan oleh Imam Tingkat 1, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Khairul Ariffinj bin Haji Yusof dan diikuti dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’.

Sejurus selepas itu, bendera besar Negara Brunei Darussalam diturunkan oleh anggota TLDB dan kemudiannya diserahkan kepada tetamu kehormat majlis. Doa selamat kemudian
dibacakan sebagai penutup upacara berkenaan.

Upacara penurunan bendera besar oleh Tentera Laut Diraja Brunei pada majlis yang berlangsung di kawasan lapang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara.
Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak menerima bendera besar pada upacara yang berlangsung di kawasan Dermaga Pekan Bangar, Daerah Temburong.
Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom menerima bendera besar daripada wakil TLDB pada majlis berkenaan.
Bendera besar diserahkan oleh anggota Pasukan Polis Diraja Brunei kepada Awang Ramlee.

Upacara serupa juga telah diadakan di Daerah Belait yang berlangsung di kawasan Taman Persiaran Cendera Kenangan, Kuala Belait.

Hadir selaku tetamu kehormat menyaksikan upacara penurunan bendera tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin.

Pada majlis itu, upacara menurunkan bendera telah disempurnakan oleh pasukan pengibar bendera Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.

Sementara itu, di Daerah Temburong, upacara telah berlangsung di kawasan Dermaga Pekan Bangar di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.

Upacara berkenaan menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera di premis-premis kerajaan dan swasta serta rumah-rumah kediaman semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-75.